PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki mencederakan serta mengugut bekas kekasihnya kerana cemburu mengundang padah apabila dia diberkas polis di ruang menunggu bas MRT Maluri, Cheras di sini baru-baru ini.
Suspek yang bekerja sebagai ejen perumahan berusia pertengahan 20-an, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap mangsa.
Susulan kejadian, bekas kekasihnya mengalami kecederaan di tangan dan muka.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian pada 21 Jun lalu.
“Susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan suspek pada pukul 6.54 petang pada keesokannya.
“Suspek telah direman selama sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










