BAGAN SERAI: Kegiatan mencuri kebal landasan semakin serius apabila pagi semalam berlaku kecurian kabel sepanjang 100 meter (m) di KM95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting menyebabkan ratusan penumpang yang ingin pulang menyambut Aidiladha terkandas.
Insiden itu menyebabkan gangguan sistem semboyan dan menjejaskan operasi perkhidmatan tren di sektor utara yang menyebabkan kelewatan beberapa perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Utara.
Ia mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penumpang yang terpaksa menunggu lebih lama kerana ada perjalanan lewat kira-kira sejam.
Tinjauan di Stesen KTMB Bagan Serai mendapati pengguna meluahkan rasa tidak puas hati terhadap gangguan yang disifatkan berlaku pada waktu ‘tidak sesuai’ ketika orang ramai dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
Penumpang, Mohd Firdaus Kamarudin, 29, dalam perjalanan dari Bagan Serai ke Arau, Perlis berkata tidak pernah berdepan kelewatan seteruk itu.
“Insiden ini menjejaskan kelancaran operasi tren dan beri kesan kepada aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sistem perkhidmatan rel negara.
“Tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap pihak terlibat dalam kegiatan kecurian kabel bagi mengelakkan insiden berulang,” katanya.
Penumpang, Aiman Hakimee Abdul Aziz, 20, berkata perjalanannya dari Ipoh ke Bagan Serai yang bermula sekitar 10.55 pagi mengambil masa lebih tiga jam susulan gangguan itu.
Tren dinaikinya beberapa kali berhenti, khususnya di kawasan antara Kuala Kangsar hingga Kamunting, dengan ada hentian mengambil masa agak lama sebelum meneruskan perjalanan.
“Memang banyak kali berhenti dan keadaan itu sangat menyusahkan kerana membuang masa penumpang lain,” katanya, yang berharap pihak berkuasa memperketatkan undang-undang serta mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel.
Semalam, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan berkata, kejadian itu dikesan Polis Bantuan KTMB pada awal pagi selepas pemeriksaan di lokasi mendapati kehilangan kabel yang menjejaskan sistem semboyan di laluan berkenaan.
Beberapa perkhidmatan ETS dan KTM Komuter Utara mengalami kelewatan melebihi 60 minit daripada jadual asal, antaranya, tren KTM Komuter No. 2902 lewat 34 minit, No. 2904 lewat 40 minit, No. 2903 lewat 23 minit dan No. 2905 lewat 25 minit. Perkhidmatan ETS pula, EP9121 lewat 90 minit, EX9171 lewat 21 minit, EP9323 lewat enam minit dan EG9343 lewat tiga minit, menurut KTMB.
Februari lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia meminda undang-undang sedia ada bagi memperketatkan hukuman terhadap kes kecurian kabel rel yang semakin membimbangkan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, langkah itu dibincangkan bersama Kementerian Pengangkutan serta semua operator perkhidmatan rel bagi memastikan hukuman lebih berat dapat menjadi pencegahan berkesan terhadap kegiatan berkenaan.
Beliau menegaskan keperluan mendesak untuk menambah baik peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan insiden sama terus berulang dan menjejaskan sistem pengangkutan negara. – UTUSAN










