KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang didakwa kerap membangkitkan isu trafik dipersoal kerana pemimpin tersebut dikatakan menghadiri dua daripada 32 sesi Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) sejak Oktober 2024.
Malah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng Yih Miin turut mempersoal adakah tindakan Chean Chung itu benar-benar bertujuan menyelesaikan masalah rakyat atau sekadar mahu meraih populariti politik.
Katanya, semua isu yang sering dibangkitkan Chean Chung termasuk cadangan bas mini, sambungan pengangkutan awam, kesesakan jalan raya dan pembangunan berkepadatan tinggi sebenarnya dibincangkan secara teknikal dalam sesi berkenaan.
“Beliau bercakap seolah-olah memahami semua isu teknikal ini, tetapi apabila MBPJ buka ruang rundingan dan pembentangan data, beliau sendiri tidak hadir.
“Macam mana seseorang boleh terus menghentam, membuat tuduhan dan mengkritik pelbagai perkara tanpa hadir melihat sendiri laporan trafik, pelan pembangunan dan data teknikal yang dibentangkan?” katanya dalam kenyataan.
RTPJ merupakan platform utama melibatkan pembentangan data trafik, kajian impak pembangunan, kepadatan penduduk, sistem perparitan serta rangkaian pengangkutan awam yang akan menentukan hala tuju pembangunan Petaling Jaya bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Bryan yang juga Ahli Majlis Petaling Jaya berkata, rekod rasmi menunjukkan MBPJ telah mengadakan 32 sesi rundingan, bengkel teknikal dan perbincangan RTPJ sejak 3 Oktober 2024 hingga 7 Mei lalu.
Namun katanya, Chean Chung hanya hadir dua sesi walaupun jemputan rasmi dihantar kepada pejabat Ahli Parlimen berkenaan bagi setiap mesyuarat yang diadakan.
“Kalau benar mahu mempertahankan kepentingan penduduk Petaling Jaya, inilah tempatnya untuk bersuara dan mencabar segala cadangan pembangunan menggunakan fakta serta data.
“Bukannya tunggu di luar, kemudian keluarkan kenyataan media dan buat ‘live’ di media sosial seolah-olah semuanya gagal,” katanya.
Bryan turut mendakwa tindakan Chean Chung menyerang MBPJ dan penjawat awam tanpa menghadiri sesi teknikal menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap proses perancangan bandar.
“Rakyat bukan mahu wakil rakyat yang hanya pandai menjadi jaguh kenyataan media atau ‘keyboard warrior’.
“Rakyat mahu wakil rakyat yang hadir dalam bilik mesyuarat, faham fakta, teliti data dan berani mempertahankan penduduk menggunakan hujah yang kukuh,” katanya.
Sebelum ini, Chean Chung beberapa kali membangkitkan isu berkaitan kesesakan lalu lintas, kelemahan sistem pengangkutan awam serta cadangan memperkenalkan bas mini bagi meningkatkan sistem sambungan pengangkutan di Petaling Jaya.
Beliau juga mempersoalkan beberapa cadangan pembangunan yang didakwa boleh menambah tekanan trafik dan kepadatan penduduk di bandar berkenaan.
Bagaimanapun, Bryan mendakwa semua perkara itu sepatutnya dibahaskan secara rasmi dalam sesi RTPJ dan bukannya sekadar dijadikan bahan politik di media sosial.
Beliau turut mendakwa corak sama dapat dilihat dalam isu banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya termasuk Taman Sri Manja dan Jalan 223 apabila banyak kenyataan dibuat, namun tiada perkembangan penyelesaian yang jelas.
“Kalau benar serius mahu menyelesaikan masalah rakyat, hadir dahulu ke meja rundingan.
“Jangan hanya muncul apabila kamera dibuka dan media sosial mula memberi perhatian,” katanya.-UTUSAN










