Ceroboh tanah: Pahang ambil tindakan tegas terhadap sindiket

Ceroboh tanah: Pahang ambil tindakan tegas terhadap sindiket

 WAN ROSDY WAN ISMAIL 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri membezakan antara individu yang meneroka bagi tujuan mencari rezeki dengan sindiket yang menjalankan aktiviti penerokaan haram secara besar-besaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak berkompromi dengan mana-mana sindiket yang menceroboh tanah secara haram dan tindakan tegas diambil. 

Bagaimanapun, kata beliau, bagi individu yang benar-benar bergantung kepada tanaman untuk mencari makan, kerajaan negeri bersedia mengadakan perbincangan dan mempertimbang kaedah tertentu termasuk pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

“Sekiranya mereka menanam untuk mencari makan, kita berbincang untuk membolehkan tanaman tersebut diteruskan, kita bagi bantuan dan cuba halalkan melalui kaedah-kaedah tertentu.

“Namun kalau pencerobohan tanah haram itu melibatkan sindiket, kita terus mengambil tindakan penguatkuasaan dan kita tidak berkompromi,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan usaha pemutihan tanah di Cameron Highlands bagi membolehkan pengusaha tanaman sayur yang berdaftar meneruskan aktiviti pertanian secara sah.

Menurutnya, pengusaha yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands dibenarkan meneruskan tanaman sayur selain diminta memohon TOL di bawah pemantauan agensi tersebut.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membolehkan aktiviti pertanian diteruskan, malah membantu kerajaan negeri memperoleh hasil serta memastikan eksport sayur ke Singapura tidak terjejas.

“Sebelum ini kerajaan tidak mendapat apa-apa hasil, tetapi sekarang hasil itu antara yang menyumbang kepada pencapaian kutipan hasil negeri mencecah RM1 bilion,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang ditubuhkan pada 15 Oktober 2019  melaksanakan pelbagai tindakan terhadap pencerobohan tanah haram di seluruh negeri ini.

Katanya, sehingga kini operasi pemusnahan melibatkan kawasan seluas 4,884 ekar telah dilaksanakan selain penyitaan jentera, kenderaan dan peralatan bernilai kira-kira RM16.65 juta.

“Selain itu, sebanyak 356 kes pendakwaan  direkodkan dengan kutipan denda dan kompaun berjumlah RM7.17 juta,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN