DUBAI: Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus mengukuhkan reputasinya dalam mencipta rekod dunia dengan pembukaan pantai khusus untuk wanita yang pertama seumpamanya, lengkap dengan kemudahan renang waktu malam, zon kecergasan dan barisan kakitangan wanita sepenuhnya.
Terletak di Pantai Al Mamzar, destinasi eksklusif ini menawarkan ruang santai dan perkelahan yang bebas daripada sebarang gangguan kamera dan memberikan privasi mutlak kepada penduduk tempatan mahupun pelancong wanita.
Awal bulan ini, Perbandaran Dubai merasmikan projek pantai Khor Al Mamzar yang merupakan mercu tanda penting di bawah Inisiatif Pantai Al Mamzar bernilai AED 500 juta (RM534.4 juta). Projek ini dilancarkan di bawah naungan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Merangkumi kawasan seluas 2.75 juta kaki persegi, pembangunan ini adalah komponen utama dalam Pelan Induk Bandar Dubai 2040 yang menyasarkan transformasi menyeluruh pesisir pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta menarik kehadiran lebih tujuh juta pelawat setahun.
Antara naik taraf terbaharu yang diperkenalkan termasuklah aktiviti renang waktu malam dan 24 jam yang dipantau oleh penyelamat bertugas sepanjang masa.
Selain itu, terdapat laluan berjalan terapung dan zon senaman yang dipertingkatkan untuk gaya hidup sihat.
Terdapat juga ruang khas yang dikelilingi pagar kukuh dengan pintu akses terkawal bagi memisahkan kawasan tersebut daripada bahagian umum pantai Al Mamzar.
Pantai ini diuruskan sepenuhnya oleh kakitangan wanita termasuk pasukan penyelamat dan pengawal keselamatan bertauliah.
Bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung, sistem pemantauan berkuasa kecerdasan buatan (AI) serta peraturan ketat larangan fotografi termasuk penggunaan kamera dan peranti rakaman telah dikuatkuasakan secara meluas.
Wanita dibenarkan membawa anak-anak mereka, namun kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ke atas lazimnya tidak dibenarkan masuk. Lelaki dewasa dilarang sama sekali pada setiap masa.
Sementara itu, di bahagian lain Al Mamzar, kawasan berenang telah diperluaskan lebih dua kali ganda dengan garis pantai sepanjang 3.6 kilometer, menjadikan keluasan keseluruhan kawasan pantai kini mencecah 182,000 meter persegi.
Menurut laporan Emirates 24/7, pembangunan lain termasuk kawasan sepanjang 300 meter yang direka khusus untuk renang waktu malam. Kawasan tersebut kini dilengkapi dengan menara penyelamat, lampu limpah berintensiti tinggi serta 12 titik panggilan kecemasan yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. – AGENSI










