KUALA LANGAT: Polis memberkas empat lelaki warga tempatan disyaki mencuri buah kelapa sawit di dalam sebuah kawasan kebun dekat Kampung Kanchong Darat, Banting, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan dua buah kereta jenis Proton Saga dan Waja memasuki ke kawasan berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan CCTV mendapati empat suspek terbabit berusia antara 20-an hingga 30-an itu mencuri buah kelapa sawit dan memasukkannya ke dalam kenderaan tersebut.
“Polis berjaya menangkap kesemua suspek pada hari yang sama serta membuat rampasan terhadap tandan kelapa sawit yang dicuri,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil ke balai polis atau menghubungi bilik gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, insiden tersebut tular dalam media sosial dan mencetuskan keresahan terutama dalam kalangan pekebun-pekebun di Kampung Kanchong Darat yang mengusahakan tanaman komoditi itu. – UTUSAN










