Tujuh termasuk pasangan kekasih jadi keldai dadah ditahan

Tujuh termasuk pasangan kekasih jadi keldai dadah ditahan

Pasangan kekasih keldai dadah
SHAZELI Kahar menunjukkan ketulan mampat bunga ganja dirampas dalam tiga serbuan di KLIA dan Kota Warisan pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tujuh warga asing termasuk pasangan kekasih yang keldai dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan dekat Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kota Warisan, Sepang, akhir bulan lalu.

Dalam kesemua serbuan tersebut polis merampas kira-kira 156.7 kilogram (kg) bunga dadah dengan nilai keseluruhan RM12.6 juta.

Ketujuh-tujuh suspek dikesan dari di Eropah itu dipercayai menerima bayaran dalam mata wang Euro iaitu 3,000 hingga 5,000 (RM13,796 –  RM22,994) dan juga Pound Sterling sebanyak 5,000 (RM26,543) untuk membawa dadah dari negara ini ke sana.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan pertama oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA pada 28 April menahan empat suspek termasuk pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 27 tahun.

Katanya, penahanan tiga lelaki dan seorang wanita itu dibuat susulan polis bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengesan empat bagasi yang mencurigakan semasa melalui mesin imbasan di terminal berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas kesemua bagasi itu menemukan 64 bungkusan plastik ketulan mampat bunga ganja dengan anggaran berat berjumlah 67.2kg. Polis turut menyita wang tunai RM580, 20 Euro serta seutas jam tangan mewah bernilai RM80,000.

“Dalam serbuan kedua, seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan pada 30 April selepas polis bantuan MAHB mengesan dua bagasi yang mencurigakan. Pemeriksaan menemukan 59 bungkusan plastik ketulan mampat bunga ganja seberat kira-kira 29.5kg,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, penahanan suspek terbabit membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Kota Warisan oleh BSJN IPD KLIA dan Sepang lalu menahan dua lagi suspek berusia 19 dan 25 tahun.

“Dalam serbuan tersebut polis turut merampas 109 bungkusan plastik ketulan mampat bunga ganja seberat 60kg,” jelasnya.

Shazeli berkata, enam daripada tujuh suspek ditahan itu didapati positif dadah selepas ujian saringan awal air kencing dijalankan dan masing-masing direman tujuh hingga 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah. Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai rekod kesalahan di negara ini.

“Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat sebagai keldai dadah walaupun ditawarkan dengan upah lumayan dan tidak membawa bagasi milik orang lain tanpa mengetahui kandungannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN