KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung pembatalan perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) dari Norway untuk kegunaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pendirian Norway berhubung perkara itu dan ia juga sudah dibawa ke perhatian Jemaah Menteri melalui Menteri Pertahanan.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan melalui saluran diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi menyelesaikan isu terbabit.
“Kita maklum tentang pendirian kerajaan Norway. Kita tahu ia (NSM) adalah sebahagian daripada keperluan aset kita dan kerajaan Norway punya pendiriannya. Jadi langkah ke hadapan itu kita akan gunakan saluran diplomatik.
“Kita akan ambil langkah diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan (Norway) untuk melihat jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan 2026 di sini hari ini.
Ketika ditanya jika negara berkenaan ada memaklumkan punca perkara itu, Adly berkata, ia akan dibincangkan melalui perbincangan diplomatik antara dua negara.
Menurutnya, ketika ini keutamaan negara adalah memastikan kesiapsiagaan aset pertahanan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Paling penting adalah kesiapsiagaan dan langkah ke hadapan kita. Jadi kita buat masa ini pendirian kita adalah kita akan guna saluran diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan,” katanya.
Media semalam melaporkan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik berhubung pembatalan oleh kerajaan Norway membabitkan perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) daripada syarikat Kongsberg Defence & Aerospace ASA (KDA).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung perubahan polisi kerajaan Norway yang memberi kesan kepada kelulusan eksport pertahanan sekali gus menjejaskan pelaksanaan kontrak terbabit.
“Kementerian Pertahanan sememangnya mempunyai kontrak perolehan dengan pihak KDA bagi pembekalan peluru berpandu NSM untuk melengkapkan keupayaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kementerian juga mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak berkenaan,” katanya. – UTUSAN









