JOHOR BAHRU: Sebanyak 6,680 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam telah dikeluarkan kepada pesalah termasuk 15 remaja di seluruh negara, sejak awal tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,866 pesalah merupakan warganegara asing yang bekerja di negara ini.
“15 kes membabitkan remaja itu kebanyakannya berlaku di Kuala Lumpur. Faktor usia bukan penghalang dikenakan tindakan, kanak-kanak pun boleh diberikan NPK jika buang sampah kecil di tempat awam.
“Remaja berusia 16 hingga 18 tahun terbabit akan menjalani proses hukuman sama termasuk program khidmat masyarakat (PKM), namun ia perlu dilaksana dengan pendekatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sinergi Kasih MADANI Komuniti Lestari dan Selamat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.
Sehingga kini, seramai 289 pesalah termasuk warga Indonesia, China, Nepal, Bangladesh dan Singapura telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan 158 daripadanya selesai menjalani PKM di bawah pemantauan penguatkuasa SWCorp di lokasi terpilih.
Tambah Aiman Athirah, SWCorp akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai penguatkuasaan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam).
“SWCorp komited menjalankan tugas serta tidak melakukan pengecualian terhadap pesalah termasuk kanak-kanak,” ujarnya. – UTUSAN










