KUALA LUMPUR: Isu penghijrahan bakat dan tenaga pakar ataupun disebut brain drain perlu dilihat dalam aspek aliran bakat global yang memberi manfaat kepada negara dan tidak hanya dilihat daripada aspek kerugian semata-mata.
Pengerusi Majlis, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, Malaysia mampu membekalkan tenaga profesional ke peringkat antarabangsa seperti doktor pakar ke United Kingdom (UK) dan jurutera ke Arab Saudi tanpa menjejaskan keperluan domestik.
Katanya, situasi tersebut hanya mampu direalisasikan sekiranya negara memiliki tenaga profesional yang mencukupi serta sistem pendidikan yang baik dan berdaya tahan.
“Saya hendak mengajak agar kita berfikir bahawa brain drain itu ditukar dan dianggap sebagai brain main. Ia diibaratkan sebagai satu paip yang bekalkan air sangat besar.
“Ini bermakna boleh ditafsir sebagai aliran bakat global yang memberi manfaat kepada negara.
Contohnya doktor pakar ke UK atau jurutera ke Arab Saudi. Ini hanya boleh berlaku jika kita mempunyai kapasiti bakat yang mencukupi dan sistem yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 bertajuk Menilai Dasar-Dasar Pendidikan Bumiputera di sini hari ini.
Dalam pada itu Zaini berkata, kerajaan disaran mempertimbangkan penubuhan akta khusus bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Katanya, cadangan tersebut melibatkan penubuhan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia melibatkan universiti awam dan institut pendidikan tinggi swasta perlu ditubuhkan.
“Akta TVET juga perlu ditubuhkan. Namun, penggunaan istilah TVET dilihat perlu diperhalusi memandangkan skopnya yang semakin luas dan tidak lagi terhad kepada bidang teknikal semata-mata, malah merangkumi bidang lain seperti bahasa.
“Definisi TVET ketika ini agak longgar. Akta khas diperlukan bagi memperjelas skop serta memperkukuh pemantauan,” jelasnya.-UTUSAN










