BN, DAP sedia hadapi pilihan raya mengejut

BN, DAP sedia hadapi pilihan raya mengejut

Ahmad Zahid Hamidi pada Program Perhimpunan Kami Gen Mara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan DAP kini bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, oleh itu beliau mengharapkan rakyat dapat membuat pilihan terbaik sebaik sahaja mandat dikembalikan kepada mereka.

“Semua parti telah bersiap sedia dan yang paling penting apabila mandat diberikan kepada rakyat semula, maka rakyat harus memilih kombinasi yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Perhimpunan Kami Gen Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kelmarin mengarahkan seluruh jentera parti itu untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut.
Arahan itu dikeluaran hasil keputusan daripada mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang diadakan malam semalam.

Ketika ditanya adakah calon pilihan raya telah dikenal pasti, Ahmad Zahid berkata ia terlalu awal untuk diputuskan.

Mengulas perkembangan kemelut politik di Negeri Sembilan pula, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan UMNO konsisten menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

“Kita tidak ada niat pun untuk menjadi pembangkang. Itu hanya sebuah kenyataan sahaja, tetapi UMNO di peringkat pusat telah memutuskan bahawa 14 ADUN di Negeri Sembilan itu tetap menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata, susulan perkembangan terkini keadaan politik di Negeri Sembilan pihaknya memutuskan bahawa DAP akan terus mendukung dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

“DAP sentiasa menghormati dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan. Segala isu yang melibatkan institusi Raja dan Adat Perpatih perlu diselesaikan dengan penuh hormat dan tertib mengikut lunas Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri.

“DAP menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di atas titah Tuanku supaya kerajaan negeri terus berfungsi seperti biasa di bawah pentadbiran Aminuddin Harun,” katanya.

Loke berkata, pihaknya tidak akan bersetuju dengan apa-apa cadangan pertukaran Menteri Besar pada ketika ini selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada gagal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN