PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan pendirian DAP yang didakwa tidak konsisten dalam menilai tindakan wakil rakyat, khususnya melibatkan sokongan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Beliau berkata, sebelum ini DAP menyokong tindakan speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu selepas mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun ia didakwa jelas bertentangan mandat pengundi pada PRU15.
Katanya, perkara itu bercanggah kenyataan Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook, yang menyifatkan tindakan Umno Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun sebagai melanggar mandat rakyat.
“Saya nak tanya, ketika enam MP Bersatu isytihar sokong PMX, ia langgar mandat pengundi tak? Kenapa DAP turut sama menyokong tindakan Speaker yang tidak isytihar kekosongan enam kerusi tersebut yang jelas langgar mandat pengundi mereka di PRU15?
“Loke semalam semasa sidang media panjang lebar huraikan tentang mandat pengundi. Katanya, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Negeri Sembilan mendapat undi dalam PRN 2023 atas mandat pengundi yang mana mereka berkempen bersama.
“Jadi, apabila Umno Negeri Sembilan tarik sokongan dari menteri besar PKR, ia melanggar mandat rakyat,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau berkata, keputusan Umno Negeri Sembilan dibuat secara en bloc, bukan tindakan lompat parti secara individu seperti berlaku melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu.
“Dan tiada apa-apa halangan seperti Akta Anti Lompat Parti yang mengekang keputusan Umno Negeri Sembilan berbanding akta yang sama-sama dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen sebelum PRU15 tetapi kemudiannya dilanggar oleh enam Ahli Parlimen Bersatu,” katanya.
Fadhli turut mendakwa, satu demi satu prinsip dilanggar oleh Pakatan Harapan (PH) akan memberi implikasi politik kepada gabungan itu pada masa depan, termasuk isu peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.- UTUSAN










