Setiap kali menjejakkan kaki ke daerah Tawau, Sabah tidak lengkap rasanya perjalanan tanpa singgah ke salah satu premis makanan Bibiq Corner yang terkenal dengan pelbagai hidangan berasaskan daging rusa atau lebih popular dikenali sebagai ‘payau’ di negeri berkenaan.

RinIwarti (tengah) bersama dua adik sepupunya, Rohayati (kanan) dan Rozaila menyambung perniagaan warisan nenek mereka.Bibiq Corner yang terletak kira-kira 600 meter dari bangunan Lapangan Terbang Tawau diusahakan oleh Riniwarti Rosaidy, 47, bersama dua sepupunya, Rohayati Akmar Ramlie, 35, dan Rozalia Nur Ramlie, 29, yang diwariskan oleh nenek mereka sejak lebih empat dekad lalu.

Antara menu yang menjadi tarikan pengunjung adalah sup daging rusa, nasi goreng daging rusa, mihun sup daging rusa, indomie goreng daging rusa dan daging rusa masak kicap.
Riniwarti berkata, premis makanan itu bukan sahaja menjadi pilihan penduduk tempatan, malah turut dikunjungi pelanggan dari Semenanjung dan pelancong luar negara yang tidak melepaskan peluang singgah sebelum atau selepas penerbangan mereka di Tawau.
“Kami ada dua cawangan. Satu di Balung dan di sini (Lapangan Terbang Tawau). Ramai pelanggan datang dari dalam dan luar negara. Ada yang datang makan di sini sambil menunggu penerbangan mereka dan ada juga yang singgah selepas tiba di Tawau.
“Boleh dikatakan kira-kira 40 peratus pelanggan terdiri daripada pelancong terutama dari China dan ada juga pelanggan dari Korea. Mereka datang memang mahu cuba menu daging rusa,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, penyediaan makanan dimulakan seawal pukul 5 pagi setiap hari termasuk merebus daging dan menyediakan rempah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kualiti hidangan sentiasa terjaga.
Katanya, jumlah daging rusa yang dimasak setiap hari secara purata adalah antara 10 hingga 15 kilogram (kg) bergantung permintaan semasa.
“Semua resipi disediakan sendiri oleh kami sebab kami tiada tukang masak khas. Sebelum dijual, kami akan pastikan setiap masakan memenuhi rasa yang ditetapkan.
“Kami memang jaga konsistensi yang mana rempah sudah siap disukat dan dibungkus ikut SOP jadi pembantu dapur tahu berapa sukatan dan jumlah air yang perlu digunakan untuk setiap jumlah daging,” jelasnya.
Mengulas sambutan terhadap hidangan daging rusa yang semakin mendapat tempat khususnya dalam kalangan pelancong, Riniwarti menzahirkan rasa gembira apabila menu itu kini semakin sinonim dengan Tawau dan menjadi antara makanan pertama yang dicari pengunjung dari luar daerah selain makanan laut.
Dia turut mengakui restoran itu sering menerima kunjungan pelanggan kenamaan, selebriti dan pempengaruh terutama ketika musim berkempen atau menghadiri majlis tertentu.
“Saya rasa gembira sebab orang tahu bila datang Tawau, mereka akan cari daging rusa. Mungkin ada tempat lain juga yang jual, tetapi pelanggan datang kerana mereka mahu rasa yang asli,” katanya.
Jelasnya, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mengeluarkan lesen kepada mereka bagi membolehkan penjualan daging rusa yang sudah dimasak memandangkan haiwan itu merupakan spesies yang dilindungi dan lesen berkenaan perlu diperbaharui setiap tahun.

Mereka memperoleh bekalan daging rusa daripada pembekal tetap dan akan disimpan di ruang penyimpanan khas memandangkan bekalan bahan mentah berkenaan bersifat bermusim.
“Bekalan tidak datang setiap hari sebab ia bermusim. Jadi, bila ada bekalan, kami akan buat simpanan sendiri.
“Kami juga tidak boleh jual sesuka hati kerana ada jumlah tertentu yang dibenarkan melalui lesen. Kami juga tidak boleh menjual daging rusa yang belum dimasak,” katanya.
Orang ramai yang ingin menikmati pelbagai hidangan daging rusa bolehlah datang ke Bibiq Corner Lapangan Terbang Tawau atau cawangannya yang terletak di Balung. Sebarang pertanyaan atau tempahan boleh menghubungi 0198625544(Riniwarti), 01129808007 (Rohayati), dan 0143825445 (Rozalia). –UTUSAN









