Selesaikan masalah banjir Changkat Jong tekad Nadziruddin

Selesaikan masalah banjir di DUN Changkat Jong tekad Nadziruddin

berjumpa rakyat yang terjejas banjir di kawasan DUN Changkat Jong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH banjir berpanjangan yang melanda beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong di bawah Parlimen Teluk Intan kini menjadi antara fokus utama penyelesaian oleh wakil rakyat kawasan tersebut, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Menurut beliau, kejadian banjir yang berlaku sebelum ini memberi kesan besar kepada penduduk, khususnya di Kampung Batu 4, Padang Tembak Dalam dan Kampung Selabak.

“Lebih membimbangkan apabila kawasan tersebut tidak pernah dilanda banjir selama puluhan tahun, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu dipercayai berpunca daripada ketidakfungsian beberapa aset di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuk kegagalan sistem kunci air serta infrastruktur berkaitan yang tidak beroperasi secara optimum.

“Situasi ini menyebabkan aliran air tidak dapat dikawal dengan baik, sekali gus mengakibatkan banjir berlarutan walaupun paras air sungai berada pada tahap yang lebih rendah,” katanya.

Sehubungan itu, perkara berkenaan telah dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan perhatian dan tindakan segera daripada pihak berkaitan.

Tambah beliau, kejadian banjir dalam tempoh singkat mungkin masih boleh diterima, namun banjir yang berlarutan sehingga lebih dua minggu jelas memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk dan perlu ditangani secara menyeluruh.

 

 

BIODATA
Nadziruddin Mohamed Bandi
Umur: 56 tahun
Asal: Teluk Intan
Pendidikan: Ijazah Kejututeraan Elektrik UTM (88/93)
Menjadi ADUN sejak 2022
Parti: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
Jawatan dalam parti:
 Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan
 Setiausaha Bersatu Negeri Perak
Alamat Pusat Khidmat: S4-1, Pusat Perniagaan Sentral Intan, 36000 Teluk Intan Perak

 

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan pembangunan pesat di kawasan sekitar turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada masalah sistem saliran.

Sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan komitmen untuk terus membawa isu tersebut ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan penyelesaian yang komprehensif dapat dilaksanakan.
DUN Changkat Jong meliputi beberapa kawasan perkampungan antaranya Kampung Air Hitam, Kampung Selabak, Kampung Banjar, Kampung Batak Rabit, Kampung Padang Tembak, Kampung Sungai Manik, Kampung Sungai

Samak, Kampung Sungai Tunku dan Kampung Sungai Kerawai.

Katanya, majoriti kawasan berkenaan merupakan penempatan masyarakat Melayu yang memerlukan perhatian khusus terutama dalam aspek kebajikan dan pembangunan sosioekonomi.

“Setiap aduan rakyat perlu diberi perhatian sewajarnya dan tidak sepatutnya berdepan alasan kekangan peruntukan atau di luar skop sehingga menjejaskan usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

 

Dalam aspek pembangunan, beliau turut mencadangkan penyediaan lebih banyak rumah mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Cadangan pembinaan rumah sekitar RM80,000 dilihat sesuai untuk isi rumah berpendapatan sehingga RM3,500, selari dengan situasi semasa di Negeri Perak khususnya di kawasan Changkat Jong,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan turun padang terus dilaksanakan melalui program ziarah rumah ke rumah serta pertemuan di pusat khidmat bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Selain itu, isu kos sara hidup dikenal pasti sebagai antara aduan utama yang sering dibangkitkan oleh penduduk setempat.

Bagi jangka panjang, beliau menekankan keperluan mewujudkan peluang pekerjaan yang berterusan di kawasan tersebut, di samping menarik minat industri berteknologi untuk bertapak dan melabur di Changkat Jong.

“Dalam masa sama, penyediaan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran serta berkelulusan tinggi amat penting sebagai man power bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN