Putri Aleeya Antasha obses kumpul sneakers - Utusan Malaysia

Putri Aleeya Antasha obses kumpul sneakers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap individu pasti mempunyai hobi tersendiri, begitu juga dengan pelakon baharu, Putri Aleeya Antasha yang cukup obses dengan koleksi kasut, khususnya ‘sneakers’.

Mengakui pernah bergelar ‘hantu kasut’, anak kepada legenda rock tanah air, Datuk Awie itu berkata, minat tersebut bermula sejak usianya remaja lagi.

Menurut Putri, hobi tersebut bukan sekadar minat semata-mata, tetapi turut menjadi satu bentuk ekspresi diri yang mencerminkan personaliti dan perjalanan hidupnya yang semakin matang.

“Dulu memang saya hantu kasut. Saya banyak membeli kasut jenis ‘sneakers’ dari pelbagai jenama seperti Adidas, Converse dan Nike. Saya suka mengumpul kasut kerana senang mahu padankan dengan baju,” katanya kepada Pancaindera.

Berbeza dengan segelintir pengumpul lain yang hanya menjadikan kasut sebagai koleksi simpanan semata-mata, Putri berkata, dia lebih gemar memakai setiap kasut yang dimiliki.

“Saya tahu itu mungkin salah satu tabiat yang tidak bagus kerana banyak mengeluarkan modal. Sampaikan ibu saya pun pernah tegur kasut banyak-banyak mahu buat apa?

“Tetapi saya bukan jenis beli untuk simpan semata. Kalau beli, kasut itu memang akan pakai. Ada kasut yang memang saya pakai setiap hari dan ‘lenjan’ sampai buruk,” jelasnya.

Lebih menarik lagi, minat mendalam terhadap kasut turut mendorong pelakon berusia 26 tahun itu menyediakan ruang khas di rumah bagi menyimpan koleksinya.

“Di rumah saya memang ada bilik kasut. Saya susun semua koleksi yang ada di situ. Seronok bila tengok banyak pilihan, senang mahu pilih bila hendak keluar,” katanya.

Jelas Putri, meskipun minat terhadap kasut masih ada, dia kini lebih bijak mengimbangi kehendak dan keperluan dalam kehidupan.

Dalam masa sama, Putri tidak menafikan pengaruh keluarga, terutama bapanya yang berjiwa rock sedikit sebanyak membentuk gaya pemakaiannya sejak kecil.

“Dari kecil lagi memang saya banyak ikut gaya ayah saya yang lebih ‘rugged’, jadi memang terbiasa dengan sneakers. Lagi pula, kaki saya cepat melecet, jadi ‘sneakers’ lebih selesa.

“Antara koleksi kasut yang menjadi kegemaran saya juga adalah kasut jenis but yang dibeli oleh ayah saya jenama Dr. Martens yang harganya sangat mahal.

“Sekarang saya sudah mula mengumpul kasut tumit tinggi dan kasut sarung juga agar bersesuaian untuk disarungkan jika perlu menghadiri mana-mana majlis. Saya perlu sediakan juga pilihan lain selain ‘sneakers’,” ujarnya.

Dalam pada itu, Putri turut berkongsi pandangannya mengenai persepsi sesetengah pihak yang menganggap hobi mengumpul barangan seperti kasut sebagai satu pembaziran.

“Tidak salah untuk berbelanja untuk diri sendiri. Selagi mampu dan tidak berlebihan, ia adalah satu bentuk penghargaan kepada diri sendiri. Jangan rasa semuanya membazir.

“Ayah saya selalu pesan, kita hanya hidup sekali. Jadi, kalau ada rezeki lebih, belilah benda yang kita suka. Jika tidak, hadiahkan diri sendiri dengan benda kecil pun sudah cukup,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN