Nikah sebelum akhir tahun ini, persiapan lancar - Syed Saddiq

Nikah sebelum akhir tahun ini, persiapan lancar – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan proses persiapan perkahwinannya bersama tunang, Bella Astillah berjalan lancar meskipun kedua-duanya berdepan jadual kerja yang sangat padat.

Syed Saddiq berkata, komitmen kerjaya masing-masing sama sekali tidak menjadi penghalang untuk mereka meneruskan perancangan ke arah mendirikan rumah tangga.

Beliau berkata, perbincangan berkaitan persiapan sentiasa dilakukan bersama kedua-dua keluarga bagi memastikan segala keputusan yang diambil atau urusan berjalan dengan baik.

“Sama seperti proses persiapan untuk bertunang, lazimnya perkara macam ini saya membincangkan antara keluarga. Alhamdulilah semua berjalan dengan baik, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya nak pastikan bahawa Bella dan keluarganya gembira. Dia merupakan tunang saya dan saya mahukan semuanya berjalan lancar, insyaAllah sebelum akhir tahun ini.

“Kita pun ada komitmen dan kerja masing-masing, saya di Parlimen dan di kawasan saya di Muar, Bella contohnya pagi di sini, malam di Sabah dan esok pergi ke tempat lain tapi di sebalik jadual kita yang sibuk, kita tetap meneruskan perancangan untuk majlis nikah dan perkahwinan dalam bulan-bulan yang akan datang ini, sebelum akhir tahun,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi PTTI Group Sdn Bhd 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Ditanya lanjut soal tarikh pernikahan, Syed Saddiq berjanji bahawa perkara itu akan dimaklumkan kepada umum apabila tiba masa yang sesuai.

“Perancangan tarikh biasanya antara keluarga. Jangan risau, perkara seperti tunang dan nikah ini bukan untuk disembunyikan, kita akan kongsikan berita gembira itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mengakui proses persiapan perkahwinan menjadi pengalaman baharu yang mengajarnya mengenai tanggungjawab sebagai seorang bakal suami.

“Saya rasa apabila kedua-duanya sibuk bekerja, ia sesuatu yang baik kerana kita masih mencari jalan untuk mendedikasikan masa kepada keluarga. Saya mahu menjadi seorang suami yang baik.

“Jika tunang saya memilih untuk terus berkarya sebagai pelakon dan penyanyi profesional, sudah tentu jadualnya sibuk, tetapi keluarga tetap perlu dijaga dan tanggungjawab perlu dikongsi bersama,” katanya.

Mengulas harapannya, beliau berkata, perkahwinan bukan sekadar kebahagiaan peribadi, sebaliknya melibatkan tanggungjawab besar antara dua keluarga.

“Saya gembira kerana ini pengalaman pertama dan saya sedang belajar mengenainya. Ia bukan sekadar kegembiraan, tetapi tanggungjawab besar, bukan hanya sebagai suami, malah dengan izin sebagai seorang bapa pada masa akan datang,” ujarnya.

Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella Astillah selamat mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN