PETALING JAYA: Seorang bekas pemandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas majikannya yang juga Hakim Mahkamah Tinggi, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Fareez Mohd. Zin, 39, yang kini menganggur membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Fareez didakwa mengugut Hakim Gan Techiong, 64, dengan niat menimbulkan kegentaran kepada hakim itu di mahkamah beliau pada pukul 1.30 petang, 8 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi ugutan melibatkan ancaman bunuh atau mendatangkan kecederaan parah, seksyen sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa membantah sebarang jaminan terhadap Mohd. Fareez atas alasan pertuduhan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam bela, Karen Kaur yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan pada kadar rendah dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri selain akan hadir pada setiap prosiding mahkamah.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Farah Nabihah menolak permohonan jaminan atas alasan pertuduhan itu tidak boleh dijamin selain mengambil kira bantahan pendakwaan.
“Dengan mengambil kira sifat pertuduhan, mahkamah menolak permohonan jaminan pada peringkat ini.
“Permohonan jaminan boleh dikemukakan semula di hadapan majistret asal yang akan mendengar kes ini,” katanya.
Dalam kes berasingan, Mohd. Fareez turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada pukul 11.10 malam, 12 Mei lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan mandatori tidak kurang dua tahun jika sabit kesalahan.
Majistret Farah Nabihah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kes dadah dan menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula kedua-dua kes. – UTUSAN









