RAWANG: Kerajaan terus komited memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya negara menerusi penyerahan Projek Pembinaan Jalan Baharu dari Jalan Persekutuan FT3208 ke Jalan 132 Kaki di kawasan UMW High Value Manufacturing Park (UMW HVMP).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan projek bernilai RM78.8 juta itu merupakan usaha berterusan kerajaan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan merancakkan pembangunan kawasan perindustrian di utara Selangor.
Beliau berkata, pembangunan pesat kawasan industri di Serendah khususnya di UMW HVMP menyebabkan keperluan terhadap sistem rangkaian jalan raya yang lebih cekap, selamat dan berkapasiti tinggi semakin mendesak.
“Projek ini bertujuan diharap dapat menyokong bagi menyediakan akses terus dan lebih efisien ke kawasan industri, mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan sedia ada.
“Ia juga meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya seterusnya dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelaburan industri di kawasan Hulu Selangor,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jalan Baharu dari Jalan Persekutuan FT3208 ke Jalan 132 Kaki di Kawasan UMW HVMP di sini hari ini.
Tambah beliau, kejayaan menyiapkan projek tersebut mencerminkan sinergi kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana, kontraktor dan semua pihak berkepentingan.
Katanya, kerajaan akan terus memastikan pembangunan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selamat dan mampan diperkasa demi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong agenda pembangunan negara. – UTUSAN










