Bekas calon pilihan raya didakwa tohmah MAISBekas calon pilihan raya didakwa tohmah MAIS

Bekas calon pilihan raya didakwa tohmah MAIS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kuala Langat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuat tohmahan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Tertuduh, Mohd. Ridzuan Abdullah, 58, yang juga seorang ahli perniagaan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak terbabit didakwa membuat tohmahan yang mana kenyataan itu akan merosakkan reputasi organisasi terbabit pada pukul 1 petang, 13 April lalu di Bangunan Perdana, Jabatan Perdana Menteri di sini.

Tohmahan yang didakwa dilakukan adalah berkaitan dengan tapak pembinaan sebuah masjid.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Sazali Omar mencadangkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira pertuduhan melibatkan tohmahan terhadap institusi agama negeri malah terdapat isu 3R dibangkitkan dalam kes berkenaan.

“Oleh itu, kami mohon dia dikenakan jaminan yang tinggi bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya yang turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling.

Peguam bela, T. Ravindran yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan yang rendah ditetapkan kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menjalankan perniagaan produk kesihatan.

“Walaupun pendapatannya umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ namun dia perlu menyara anak-anak bersama isteri yang juga seorang suri rumah.

“Dia merupakan bekas calon bagi kerusi Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 lalu, sekali gus menunjukkan ketulusannya dalam memenuhi semua syarat yang ditetapkan mahkamah,” kata peguam iu.

Mohd. Ridzuan turut mencelah dengan memberitahu mahkamah bahawa dia pernah dijangkiti virus pada Jun tahun lalu sehingga menyebabkan dia tidak dapat bekerja selama enam bulan.

Selepas mendengar hujah ringkas kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Jun ini.

Pada 16 April lalu, MAIS dalam satu kenyataan memberitahu akan mengambil tindakan termasuk memfailkan saman fitnah terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, Subang, Selangor.

Setiausaha MAIS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini mengulas demikian selepas penularan video di aplikasi TikTok, yang mendakwa berlaku tunggakan bayaran serta salah urus membabitkan majlis agama negeri itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN