PASIR PUTEH: Kerja-kerja penanaman padi bagi musim 1/2026 di kawasan selian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berjalan mengikut jadual bermula 1 Jun ini selepas bekalan air yang terjejas akibat kemarau semakin pulih.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, peningkatan paras air sungai sejak kebelakangan ini membolehkan operasi pengepaman air ke kawasan sawah dilaksanakan dengan lebih lancar dan terkawal.
“Ia sekali gus memberi keyakinan kepada pesawah untuk memulakan proses penanaman mengikut jadual ditetapkan,” katanya selepas Majlis Perasmian Projek Pembinaan Empangan Bukit Kuang, Seligi di sini hari ini.
Khalid berkata, projek penambahbaikan Empangan Bukit Kuang dan Skim Pengairan Seligi bernilai RM4.46 juta itu menjadi antara komponen penting dalam sistem pengairan kawasan penanaman padi di kawasan seliaan agensi berkenaan.
Katanya, kerja-kerja pelaksanaan projek berkenaan bermula pada April lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini.
“Usaha penambahbaikan itu dilaksanakan bagi memastikan sistem bekalan air pertanian berada dalam keadaan lebih stabil, cekap dan mampan khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta cuaca tidak menentu yang memberi kesan kepada sektor penanaman padi.
“Selain meningkatkan keupayaan pengairan, projek tersebut melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan pintu air, pembersihan sungai dan kawalan hakisan tebing melalui pemasangan ‘sheet pile’ sepanjang 320 meter di beberapa kawasan bendang utama,” ujarnya.
Khalid berkata, penambahbaikan infrastruktur pengairan itu juga penting untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan secara lebih stabil terutama ketika musim kering selain membantu mengurangkan risiko banjir dan takungan air berlebihan ketika hujan lebat. – UTUSAN










