KUANTAN: Peneroka di Felda Bukit Goh di sini, yang terjejas akibat aktiviti perlombongan bauksit diminta bersabar sedikit masa lagi sementara kerajaan negeri memuktamadkan hala tuju pembangunan semula kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa kepentingan serta kebajikan peneroka terus menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat.
Katanya, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti dan memperincikan setiap cadangan pembangunan yang dikemukakan termasuk projek pembangunan bercampur, tanaman semula, pembangunan solar dan inisiatif tenaga lain.
“Yang penting kita perlu memihak kepada peneroka. Apa yang peneroka inginkan kita beri perhatian dan perbincangan bersama kepemimpinan peneroka. Kerajaan negeri sangat komited memastikan penyelesaian dicapai bersifat holistik, mampan dan mampu mengembalikan semula sumber pendapatan serta kesejahteraan peneroka yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Ayub Mat Ashri mengenai hala tuju kerajaan negeri bagi membantu golongan peneroka terbabit pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Amizar berkata, sebarang syarikat yang ingin terlibat dalam pembangunan kawasan berkenaan perlu melalui penilaian ketat oleh pasukan petugas khas yang melibatkan aspek teknikal, komersial, kewangan dan kepakaran syarikat.
Katanya, ketika ini hanya aktiviti pengeluaran stok simpanan minimum dibenarkan sementara menunggu keputusan akhir kerajaan negeri berhubung hala tuju pembangunan kawasan terbabit.
Felda Bukit Goh yang dibangunkan sekitar tahun 1966 hingga 1967 mempunyai keluasan kawasan pertanian hampir 2,831 hektar dengan 671 peneroka.
Kawasan itu terkesan akibat aktiviti perlombongan bauksit sekitar 2014 hingga 2015 sebelum kerajaan melaksanakan moratorium pada 2016 susulan isu pencemaran alam sekitar yang serius.
Sejak moratorium dilaksanakan, sebahagian ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh tidak dapat diusahakan secara optimum sekali gus menjejaskan pendapatan peneroka. – UTUSAN










