Haier Cup 2026 diperluas ke Sabah, tawar hadiah hingga RM90,000

Haier Cup 2026 diperluas ke Sabah, tawar hadiah hingga RM90,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Haier Malaysia membawakan penganjuran Haier Cup yang lebih meluas buat peminat sukan tanah air menerusi penyertaan Sabah sebagai lokasi penganjuran terbaharu, melengkapkan siri jelajah di Sarawak, Johor, Pulau Pinang, dan Selangor.

Penganjuran edisi keempat ini melakar pencapaian penting buat Haier Cup yang kini telah berkembang menjadi sebuah platform peringkat kebangsaan.

Dengan memberi tumpuan kepada penglibatan komuniti dan gaya hidup aktif, Haier Cup telah menjadi medan utama bagi pemain di seluruh negara untuk berinteraksi menerusi badminton yang merupakan antara sukan paling diminati di Malaysia.

Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing berkata: “Melangkah ke tahun keempat penganjurannya, Haier Cup terus menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada para peserta mahupun rakan kerjasama.

“Apa yang bermula sebagai sebuah inisiatif kompetitif kini telah berkembang menjadi platform penglibatan yang kukuh, dengan peningkatan penyertaan dan minat yang semakin mendalam pada setiap tahun. Ini membuktikan nilai inisiatif sedemikian dalam menyokong individu yang meminati badminton, dengan menyediakan ruang bagi mereka untuk bersaing, mempertingkatkan kemahiran serta kekal aktif dalam sukan ini.”

“Kami melihat Haier Cup bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebagai usaha berterusan untuk kekal relevan dengan audiens kami secara lebih langsung melalui pengalaman yang memberikan impak.

“Haier Cup juga mencerminkan komitmen berterusan jenama kami dalam membina hubungan jangka panjang dengan mendekati golongan muda serta komuniti di seluruh Malaysia menerusi aktiviti aktif berteraskan komuniti, di samping memantapkan profil jenama serta interaksi strategik menerusi sukan,” tambah beliau.

 

Haier Cup 2026: Rentasi Batasan

Memacu momentum kejayaan edisi lalu, Haier Cup kini kembali dengan penganjuran yang lebih gah serta format yang lebih dinamik.

Ini termasuklah pengenalan Kategori Terbuka di Selangor buat julung kalinya, sekali gus membuka peluang untuk komuniti pemain daripada pelbagai peringkat kemahiran untuk bersaing.

Kejohanan ini menampilkan tiga kategori utama iaitu Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki, dan Beregu Campuran bagi peserta berumur 16 tahun ke atas.

Tahun ini, saingan peringkat negeri bakal mendekati lebih ramai pemain di seluruh negara dengan penyertaan Sabah sebagai tuan rumah baharu, menyertai Sarawak, Johor, Pulau Pinang, dan Selangor.

Para peserta akan bersaing untuk merebut sebahagian daripada hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM90,000, yang merangkumi wang tunai, produk Haier, serta barangan eksklusif jenama Maxx.

Haier Cup

Susulan permintaan tinggi dan maklum balas memberangsangkan pada edisi sulungnya tahun lalu, Haier Cup Junior kembali lagi bagi tahun kedua untuk mencungkil bakat muda.

Kejohanan ini menyediakan laluan ke arah arena badminton profesional buat pemain tempatan, di samping membuka pintu kepada penyertaan antarabangsa bagi meningkatkan tahap persaingan serta pendedahan peserta.

Mencerminkan komitmen Haier dalam membangunkan generasi masa depan sukan badminton di Malaysia, Haier Cup Junior menyasarkan penyertaan pemain berumur antara 7 tahun hingga 21 tahun.

Kejohanan selama dua hari yang bakal berlangsung pada 18 hingga 19 Julai 2026 ini dijangka menarik kehadiran sekitar 1,000 peserta dan penonton.

Persaingan akan merangkumi enam kategori termasuk Perseorangan Lelaki, Perseorangan Perempuan, Beregu Lelaki, Beregu Perempuan, Beregu Campuran, serta Perseorangan Campuran.

Haier Melahirkan Juara Masa Depan: Melangkaui Gelanggang Kejuaraan

Haier memperluas inisiatif pembangunan bakat mudanya menerusi program Haier Junior Development 2.0.

Program ini direka untuk mencungkil, membimbing, dan memperkasa potensi bakat-bakat muda yang sedang meningkat naik di seluruh Malaysia.

Pada tahun 2025, inisiatif ini telah menjangkau 10,000 pelajar di seluruh negara, dengan 16 pemain berjaya menaiki podium di peringkat negeri dalam pelbagai kejohanan.

Antaranya Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL), Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSS Selangor), Ignite Cup, dan Kejohanan Terbuka Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (YDP MPHTJ).

Impak positif yang dibuktikan melalui pembangunan bakat muda ini telah menarik sokongan padu daripada ibu bapa serta komuniti setempat.

Melangkah ke hadapan, Haier Malaysia berhasrat untuk memperkukuh barisan pelapis bakat muda ini pada tahun 2026 dengan terus membangunkan kumpulan peserta sedia ada, di samping meluaskan jangkauan kepada peserta baharu.

Program ini bakal membabitkan 10,000 lagi pelajar menerusi kerjasama dengan 20 buah sekolah di seluruh negara, berteraskan kerangka latihan dan pertandingan yang lebih komprehensif sepanjang tahun.

Sebagai sebahagian daripada fasa seterusnya, atlet muda terpilih akan menyertai kejohanan tempatan setiap bulan bagi membina konsistensi kompetitif, selain berpeluang bersaing dalam kejohanan antarabangsa untuk pendedahan yang lebih luas.

Usaha ini turut diperkukuh menerusi program latihan harian dengan kerjasama Kelab Badminton Ampang Jaya.

Haier Cup 2026 turut memberi tumpuan kepada bakat yang sedang meningkat naik, Lim Ming Hong, yang merupakan ahli terbaharu dalam program Haier Elite Player Sponsorship.

Kini berada di kedudukan ke-8 dalam kategori Perseorangan Lelaki Malaysia, Lim mewakili generasi baharu pemain kompetitif yang harus diberi perhatian.

Menerusi kerjasama ini, beliau akan membawa sokongan Haier Malaysia ke gelanggang tempatan mahupun antarabangsa, sekali gus melakar langkah penting dalam kerjaya profesionalnya.

Pendaftaran bagi Haier Cup 2026 kini dibuka dan Haier Malaysia mengalu-alukan penyertaan pemain daripada pelbagai peringkat pengalaman untuk bersaing, sekali gus meraikan minat mendalam rakyat Malaysia terhadap sukan badminton.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Haier Cup 2026 dan ikuti Haier di Facebook, Instagram serta TikTok untuk mendapatkan promosi, acara, dan kemas kini terkini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN