REMBAU: Pelan Tindakan Pembangunan Belia yang akan dilancarkan esok sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 bakal melibatkan semua kementerian.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, beberapa pengumuman penting melibatkan belia bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memanfaatkan anak muda di seluruh negara.
“Kita menunggu esok untuk pengumuman apakah yang akan diumumkan untuk anak muda belia di seluruh negara.
“Selain itu, beberapa pelancaran juga akan diadakan termasuk pelan tindakan pembangunan belia yang melibatkan kesemua kementerian, bukan hanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Ke-38 di Chembong di sini, hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, sebelum ini Pelan Tindakan Pembangunan Belia telah dibawa ke Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia dan Sukan sebelum diperakukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Katanya, ia diwujudkan bagi membentuk generasi muda yang lebih holistik dan berkualiti melalui kerjasama pelbagai kementerian.
“Untuk membentuk sebuah generasi anak muda yang hebat, bukan hanya KBS yang bertanggungjawab tetapi ia perlu dilaksanakan secara lebih komprehensif dan holistik melibatkan kementerian lain juga,” katanya.
Beliau berkata, KBS menyasarkan penyertaan seramai 150,000 belia sepanjang tiga hari Sambutan HBN 2026 yang berlangsung di Sendayan dan dirasmikan oleh Perdana Menteri. – UTUSAN







