SHAH ALAM: Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Selangor 2025 yang akan berlangsung pada 15, 17 dan 18 Mei ini menyasarkan kehadiran 70,000 pengunjung di kesemua sembilan daerah.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, jumlah kehadiran termasuk 10,000 belia yang akan hadir menyambut sambutan HBN di peringkat negeri dan daerah.
“Sambutan peringkat daerah akan berlangsung pada 15 Mei di kesemua sembilan daerah di negeri. Manakala kemuncak sambutan akan berlangsung pada 17 dan 18 Mei di pusat membeli-belah KSL Esplanade, Klang,” katanya pada sidang akhbar pengumuman HBN Peringkat Selangor 2025, hari ini.
Tambahnya, pelbagai program dan aktiviti dirangka untuk memeriahkan sambutan seperti penganjuran 13 pavilion termasuk Port Makan-Makan, Port Gaming, Port Jana Duit dan lain-lain lagi yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 18 Mei.
“Beliau dijangka menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Negeri Selangor dan Anugerah Jasa Bakti Majlis Belia Negara (MBS) Negeri Selangor 2025,” ujarnya. – UTUSAN