KUALA LUMPUR – Legenda saksofon dunia, Kenny G bakal kembali menggegarkan Malaysia menerusi persembahan “King of Saxophone” Kenny G 2026 World Tour in Malaysia di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 12 Julai depan jam 6 petang.
Konsert anjuran Everbeat Entertainment dengan kerjasama CEOMAN Entertainment itu dijangka menghimpunkan peminat muzik jazz tempatan untuk menikmati persembahan instrumental bertaraf antarabangsa.
Kenny G yang merupakan pemenang Anugerah Grammy disifatkan antara pemuzik jazz paling berpengaruh sepanjang zaman menerusi karya malar segar seperti Songbird, Forever in Love dan Silhouette.
Sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni, beliau berjaya menjual lebih 75 juta album studio sekali gus meletakkannya sebagai antara pemuzik instrumental paling laris dalam sejarah industri muzik dunia.
Artis berusia 70 tahun itu juga pernah bekerjasama dengan ramai nama besar antarabangsa termasuk Celine Dion, Andrea Bocelli, Andy Lau, Kanye West, The Weeknd dan Charlie Puth.
Selain muncul menerusi dokumentari Listening to Kenny G, beliau turut memegang rekod dunia bagi note E-flat paling panjang selama hampir 46 minit.
Menurut pihak penganjur, “Persembahan Kenny G sentiasa menghadirkan melodi yang menyentuh jiwa dan mencipta suasana romantik buat peminat menikmati malam penuh kenangan.”
Tambah mereka lagi, “Gabungan susunan muzik ikonik, produksi pentas elegan dan elemen nostalgia bakal menjadikan konsert ini pengalaman yang tidak akan dilupakan.”

Peminat dijangka disajikan dengan persembahan secara langsung yang memukau menerusi alunan saksofon penuh emosi serta karya-karya popular yang menjadi identiti Kenny G sejak sekian lama.
Tiket konsert boleh didapati menerusi MAISEAT dan Resorts World Genting dengan harga bermula RM258 hingga RM668, manakala perkembangan terkini boleh diikuti melalui Everbeat Entertainment serta Instagram rasmi @everbeat_entertainment.










