PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad komited membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global menerusi akses kepada Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia.
SME SRF merupakan sebahagian daripada inisiatif bantuan bernilai RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia bagi membantu PKS yang berdaya maju tetapi terkesan akibat gangguan global, termasuk ketegangan geopolitik serta cabaran rantaian bekalan.
Inisiatif itu adalah usaha bersama industri perbankan dalam memastikan perniagaan kekal berdaya tahan dan terus menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, pihaknya memahami cabaran yang semakin meningkat dihadapi PKS susulan ketidaktentuan global yang berterusan.
“Kami di Bank Muamalat sentiasa komited untuk bersama pelanggan dengan menawarkan penyelesaian praktikal dan patuh syariah yang bukan sahaja memenuhi keperluan segera mereka, malah memperkukuh daya tahan perniagaan untuk jangka panjang.
“Kami amat menggalakkan PKS yang terkesan supaya menghubungi kami lebih awal agar bentuk sokongan paling sesuai dapat dikenal pasti demi kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.
Di bawah SME SRF, PKS yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM750,000 dengan kadar keuntungan maksimum 3.75 peratus setahun.
Kemudahan itu turut diperkukuh dengan perlindungan jaminan sehingga 80 peratus melalui Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad(SJPP), sekali gus meningkatkan akses pembiayaan kepada perniagaan yang terjejas.
Selain kemudahan pembiayaan, Bank Muamalat turut menyediakan sokongan menyeluruh termasuk bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan, pengaturan pembayaran balik yang fleksibel, khidmat nasihat peribadi serta penyelesaian pembiayaan patuh syariah bagi membantu PKS mengurus tekanan aliran tunai dan mengekalkan operasi perniagaan.
Inisiatif itu turut melengkapi usaha kolektif industri perbankan seperti yang diketengahkan dalam kenyataan bersama persatuan industri utama bagi memastikan akses berterusan kepada pembiayaan dan sokongan khidmat nasihat kepada PKS sepanjang tempoh ketidaktentuan ekonomi semasa.
Kemudahan SME SRF dibuka kepada PKS yang layak dengan permohonan bermula 15 Mei hingga 31 Disember 2026 atau sehingga dana diperuntukkan digunakan sepenuhnya. –UTUSAN









