Empat mayat PATI mangsa bot karam ditemukan terapung - Utusan Malaysia

Empat mayat PATI mangsa bot karam ditemukan terapung

MOHAMAD Shukri Khotob dalam sidang akhbar di Kampung Acheh di Lumut hari ini mengenai kejadian bot PATI karam di perairan Pulau Pangkor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Empat mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditemukan hari ini berikutan kejadian bot tenggelam di perairan Pulau Pangkor semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mayat mangsa dipercayai tiga wanita dan seorang lelaki ditemukan pada kira-kira pukul 2 petang tadi oleh dua bot Pasukan Polis Marin (PPM) pada kedudukan 13 batu nautika dari Pulau Talang berhampiran Segari.

Menurutnya, semua mayat ditemukan dalam keadaan terapung.

“Dengan penemuan mangsa hari ini, bermakna 10 lagi PATI yang terlibat kejadian bot karam belum ditemukan.

“Kita percaya mangsa yang belum ditemukan akan hanyut mengikut arus dan kita jangkakan ia akan bergerak ke arah utara 10 batu nautika dari lokasi kejadian pagi semalam,” katanya kepada pemberita di Jeti PPM Kampung  Acheh di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan sebuah bot yang membawa 37 PATI dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor di sini awal pagi semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang diaktifkan berjaya menyelamatkan seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia sebelum kesemua mereka diiringi oleh Bot PPM PAC 16 ke Jeti PPM Kampung Acheh untuk dokumentasi serta siasatan lanjut.

Mohamad Shukri berkata, pihaknya bercadang menambah aset bagi tujuan pencarian namun ia tertakluk kepada ketersediaan aset-aset berkenaan oleh pasukan keselamatan terlibat seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, radius pencarian hari ini diluaskan kepada 151 batu nautika dari lokasi kejadian dan operasi akan diteruskan kerana ada tanda-tanda penemuan mangsa yang berbaki 10 lagi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga esok,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN