Baik pulih LRT tergelincir ambil masa tiga hingga lima hari - Utusan Malaysia

Baik pulih LRT tergelincir ambil masa tiga hingga lima hari

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meninjau kawasan insiden tren tergelincir di Stesen LRT Chan Sow Lin, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIEN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang terjejas susulan insiden tren tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin di sini dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima hari sebelum diaktifkan semula pada 3 Jun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tren yang tergelincir akan diangkat dan dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi kejadian hari ini menggunakan kren khas.

Katanya, kren diperlukan bagi mengangkat semula tren ke atas landasan kerana gerabak terbabit terkeluar daripada trek ketika kejadian.

“Kerja-kerja pembaikan trek hanya boleh dimulakan selepas tren berkenaan dikeluarkan sepenuhnya dari kawasan landasan.

“Ia juga dijangka akan diaktifkan semula pada 3 Jun, Rabu depan selepas kerja-kerja pembaikan selesai,” katanya semasa sidang akhbar selepas meninjau lokasi kejadian, di sini hari ini.

Anthony Loke berkata, kegagalan fungsi switch box (kotak suis) atau sistem pertukaran landasan dipercayai menjadi punca insiden tren LRT tergelincir di laluan berkenaan semalam.

“Insiden melibatkan enam gerabak itu dipercayai berlaku apabila sistem pertukaran landasan (switch box/switch station) gagal berfungsi seperti sepatutnya.

“Gerabak pertama berada di landasan betul menuju Putra Heights namun gerabak seterusnya berada di landasan arah Ampang sebelum berlaku daya tarikan yang menyebabkan gerabak pertama dan kedua tergelincir.

“Siasatan awal mendapati kemungkinan berlaku kegagalan pada sistem switch yang sepatutnya beroperasi secara automatik dan perkara itu perlu disiasat secara terperinci,” katanya.

Menurut beliau, kelajuan tren akan dikawal walaupun kedua-dua hala perkhidmatan boleh beroperasi buat sementara waktu.

“Bagi tempoh sementara itu, tren dari Ampang menuju Sentul Timur perlu berhenti di Stesen Chan Sow Lin sebelum berpatah balik ke Ampang bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih trek,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, gangguan perkhidmatan Rapid KL Laluan Ampang/Sri Petaling berlaku sejak pagi semalam disebabkan sebuah tren yang tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.

Rapid Rail mengesahkan insiden itu berlaku akibat kerosakan pada suis landasan sehingga menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak dan menjejaskan jadual perjalanan Laluan Ampang/Sri Petaling. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN