KUALA LUMPUR: Laporan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir dari landasan di Stesen Chan Sow Lin dekat sini, semalam perlu disiapkan dalam tempoh 30 hari, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat insiden berkenaan secara menyeluruh.
Beliau berkata, pasukan itu tidak melibatkan wakil Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas.
Katanya, pasukan itu akan melihat sama ada kejadian berpunca daripada kecuaian manusia (human error), kerosakan sistem atau kegagalan sistem dan semua perkara itu perlu dikenal pasti.
“Pasukan petugas khas ini akan diketuai Ketua Pengarah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Brigedier Jeneral Tan Chee Kee TUDM di bawah Kementerian Pengangkutan yang mempunyai pengalaman luas mengetuai beberapa siasatan kemalangan sebelum ini.
“Kementerian turut mendapatkan kepakaran daripada beberapa pakar dalam bidang kejuruteraan rel bagi menyertai pasukan tersebut.
“Terma rujukan dan keanggotaan pasukan itu akan diumumkan dalam masa terdekat dan mereka diberi tempoh maksimum 30 hari untuk menyediakan laporan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau kawasan tren tergelincir, hari ini.
Semalam, gangguan perkhidmatan tren laluan Ampang-Sri Petaling berlaku disebabkan sebuah tren tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.
Anthony berkata, pasukan petugas khas hanya berperanan mengenal pasti punca kejadian manakala tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal sama ada insiden ini berpunca daripada kecuaian atau kesilapan manusia kerana siasatan masih di peringkat awal dan kita perlu berlaku adil kepada semua pihak.
“Kemungkinan audit dalaman secara menyeluruh terhadap sistem Transit Aliran Massa (MRT) dan LRT di bawah kendalian Prasarana akan dibincangkan bersama pihak pengurusan syarikat,” katanya.
Tambahnya, siasatan secara bebas perlu dijalankan bagi memastikan punca sebenar dan diumumkan secara terbuka kepada orang ramai.
“Perkara seperti ini tidak boleh disorok. Kita perlu wujudkan budaya integriti dan akauntabiliti dalam kalangan pengendali pengangkutan awam.
“Kejadian seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang dan kita mesti mengambil pengajaran besar daripadanya,” katanya. – UTUSAN










