BATU PAHAT: “Saya lihat orang ramai berkerumun depan sekolah, kemudian dengar orang sebut nama Aini, badan saya terus lemah.”
Itu luahan Asmilah Tukiran, 37, ibu kepada Allahyarham Nur Aini Umairah Mohd. Fareez, 8, yang maut dilanggar van depan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong di sini semalam.
Katanya, ketika kejadian, dia tiba lewat beberapa minit di sekolah kerana menyiapkan seorang lagi anaknya, Ahmad Sufi, 5, yang baharu pulang dari prasekolah sekitar pukul 12.30 tengah hari.
“Bila cikgu beritahu murid itu ialah anak saya, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazahnya kerana keadaannya sangat parah ketika itu.
“Biasanya bila saya tiba baru Nur Aini keluar dari pagar sekolah. Tetapi pada hari kejadian, saya tidak tahu kenapa dia berada di luar pagar, mungkin dia mahu beli sesuatu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), malam tadi.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Mohd. Fareez Khalid, 39, berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian dan menganggap apa yang berlaku ditakdirkan Allah.
“Kepada pemandu van yang melanggar anak saya, tidak mengapa, saya sudah memaafkannya. Apa yang berlaku sudah ditetapkan, jadi tak boleh salahkan sesiapa, mana ada orang nak bunuh orang lain,” katanya.
Nur Aini Umairah yang merupakan anak pertama daripada dua beradik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pemandu van iaitu seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya. – UTUSAN










