BANDAR RAYA MEXICO: Salah sebuah bandar raya terbesar di dunia kini dilaporkan sedang tenggelam pada kadar hampir 0.3 meter setiap tahun menyebabkan jutaan penduduknya dalam risiko kehilangan tempat tinggal.
Bandar raya terbesar di Amerika Utara ini mengalami penurunan tanah yang sangat pantas sehingga kesannya kini dapat dilihat dengan jelas dari angkasa lepas.
Foto satelit daripada agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menunjukkan bandar raya itu mendap pada kadar hampir 25 sentimeter (sm) setahun. Ia menjadikannya antara bandar raya yang paling cepat tenggelam di dunia dan mengancam kestabilan asas pembinaannya.
“Ini adalah masalah yang sangat besar,” kata Enrique Cabral, seorang penyelidik geofizik di Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico. Beliau menyatakan bahawa fenomena ini merosakkan infrastruktur kritikal termasuk sistem kereta api bawah tanah, saliran, bekalan air bersih, kediaman dan jalan raya.
Didiami oleh lebih 22 juta penduduk, bandar raya itu asalnya dibina di atas dasar tasik purba. Terdapat rangkaian terusan di bandar purba itu.
Gabungan aktiviti mengepam air bawah tanah dan pembangunan bandar yang meluas menyebabkan lapisan batuan kering sepenuhnya. Ini mengakibatkan bandar raya ini mengalami penurunan paras tanah secara berterusan selama lebih satu abad.
Pada lewat 1800-an, kadar mendapan hanyalah sekitar kira-kira 5sm setahun. Namun, angka itu melonjak kepada 45sm menjelang tahun 1950.
Secara keseluruhannya, sesetengah kawasan telah tenggelam sehingga beratus-ratus meter, manakala struktur bersejarah seperti Gereja Metropolitan yang dibina sejak 1573 kini menunjukkan kecondongan ketara.
Kadar mendapan ini berjaya diukur secara tepat oleh penyelidik melalui penggunaan satelit berkuasa tinggi milik NASA yang dikenali sebagai NISAR antara Oktober 2025 hingga Januari 2026.
Kekerapan pengumpulan data ini membolehkan saintis merekodkan perubahan pergerakan tanah setiap 12 hari .- AGENSI










