Tentera Israel rompak harta penduduk di selatan Lubnan - Utusan Malaysia

Tentera Israel rompak harta penduduk di selatan Lubnan

KEPULAN asap kelihatan dari sempadan Lubnan ketika tentera Israel merobohkan bangunan dan rumah di selatan negara itu kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Akhbar berhaluan kiri Israel, Haaretz melaporkan bahawa tentera rejim Zionis di selatan Lubnan telah merompak sejumlah besar harta benda awam, berdasarkan keterangan daripada askar dan komander di lapangan.

Rakaman juga muncul di media sosial memaparkan askar Israel merakam antara satu sama lain sambil bergurau ketika merosakkan harta benda di dalam rumah ketika kejadian.

Tentera Israel minggu lalu berkata, dua orang askar akan dikenakan 30 hari tahanan tentera dan ditarik balik daripada tugas tempur berhubung insiden tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Staf Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, mengeluarkan amaran keras kepada tentera pada Isnin berhubung kejadian merompak.

“Fenomena merompak, jika ia wujud, adalah memalukan dan berisiko mencemarkan IDF (Pasukan Pertahanan Israel) secara keseluruhan. Jika insiden sedemikian berlaku, kami akan menyiasatnya,” katanya dalam satu kenyataan, menggunakan akronim bagi tentera Israel.

Sementara itu, angka Kementerian Kesihatan Lubnan mendedahkan serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 40 nyawa di negara itu sejak gencatan senjata rapuh berkuat kuasa pada 17 April lalu.

Dalam insiden terbaharu pada Isnin, serangan di selatan Lubnan dilaporkan membunuh empat orang termasuk seorang wanita dan mencederakan 51 yang lain, dengan tiga daripadanya kanak-kanak.

Tentera Israel memaklumkan pasukannya menyerang lebih 20 sasaran infrastruktur Hizbollah di Lembah Bekaa, timur Lubnan dan selatan negara itu kelmarin, termasuk kemudahan simpanan senjata serta tapak pelancaran roket.

Terdahulu, media kerajaan Lubnan melaporkan serangan udara Israel di beberapa lokasi di selatan negara itu, termasuk kira-kira 12 sasaran pada waktu malam.

Hizbollah pula memaklumkan, pejuangnya melancarkan beberapa serangan terhadap tentera Israel, termasuk ke atas jentolak rejim yang didakwa digunakan untuk merobohkan rumah di bandar sempada Bint Jbeil.

Bulan ini, pegawai Israel dan Lubnan mengadakan dua pertemuan di Washington bagi membincangkan penamatan perang antara Israel dan Hizbollah, tindakan yang ditolak oleh kumpulan pro-Iran itu.

Selepas pusingan pertama rundingan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari yang bermula pada 17 April, diikuti lanjutan tiga minggu lagi selepas pusingan kedua perbincangan.

Di bawah syarat gencatan senjata, Israel menekankan ia berhak bertindak terhadap sebarang serangan yang dirancang, hampir berlaku atau sedang berlaku.

Sebelum ini, Ketua Hizbollah, Naim Qassem, mengkritik sekeras-kerasnya kerajaan Lubnan dengan menyifatkan rundingan langsung bersama Israel sebagai ‘dosa besar’.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun dalam kenyataan berkata, matlamatnya adalah untuk menamatkan keadaan perang dengan Israel, seperti perjanjian gencatan senjata 1949 yang ditandatangani selepas perang Arab-Israel 1948.

“Saya memberi jaminan saya tidak akan menerima sebarang perjanjian yang memalukan,” katanya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini