PETALING JAYA: Pelakon, Amerul Affendi mendedahkan, tidak mudah untuk meyakinkan arwah bapanya, Mohd Mawardi untuk terjun ke dalam bidang seni dan lakonan tanah air.
Mengenang memori tersebut, Amerul atau Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi berkata, persepsi arwah bapanya mula berubah selepas melihat kesungguhannya membintangi dua buah filem dan menyambung pengajian ke Universiti Malaya.
“Sejak filem kedua dan ketiga, emak dan ayah nampak saya boleh ‘hidup’ dengan apa yang saya minat. Mereka mula nampak masa depan dalam bidang ini.
“Waktu itu juga, selepas tamat di Akademi Seni Kebangsaan (ASK), saya sambung belajar ke Universiti Malaya (UM). Ayah sangat bangga dan tidak malu untuk bercakap kepada orang luar bahawa anaknya belajar dalam bidang teater,” katanya menerusi podcast Borak Selebriti yang tular, baru-baru ini.
Tambah pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ini, dia hanya mengetahui tentang sokongan bapanya itu selepas dimaklumkan oleh ibunya.
Ujar Amerul, arwah bapanya mempunyai tabiat unik iaitu akan menonton setiap naskhah lakonannya di pawagam pada hari pertama tayangan tanpa ditemani sesiapa.
“Setiap kali filem saya keluar, arwah ayah akan pergi tonton di wayang seorang diri pada hari pertama tayangan. Dia akan pergi senyap-senyap.
“Tahu-tahu nanti, dia akan bercerita kepada emak yang dia sudah tonton filem tersebut, tetapi dia tidak bawa emak sekali,” ceritanya.
Menganggap doa dan restu ibu bapa sebagai azimat utama keberadaannya dalam industri, Amerul mengakui tanpa sokongan tersebut, sukar untuknya bertahan sehingga ke tahap sekarang.
Untuk rekod, Amerul memulakan langkah dalam dunia perfileman menerusi filem Karaoke (2009) diikuti filem Gadoh tahun yang sama arahan arahan Brenda Danker dan Namron. – UTUSAN










