Pendengaran semakan Mohd. Isa ketepi sabitan, hukuman penjara, denda ditangguh

Pendengaran semakan Mohd. Isa ketepi sabitan, hukuman penjara, denda ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendengaran permohonan semakan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad untuk mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara serta denda RM15.45 juta telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ia selepas panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah membenarkan permohonan pasukan pembelaan Mohd. Isa untuk mendapatkan salinan Rakaman dan Transkripsi Mahkamah (CRT) Mahkamah Persekutuan.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Azizah Nawawi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

“Disebabkan terdapat pertikaian mengenai apa yang berlaku sewaktu prosiding di mahkamah terbuka sebelum ini dan memandangkan kedua-dua pihak juga pernah meminta salinan CRT, kami berpandangan bahawa permohonan ini perlu dibenarkan.

“Mahkamah membenarkan CRT bertarikh 5 dan 10 Februari 2026 dibekalkan kepada pihak-pihak. Pengurusan kes ditetapkan pada 14 Mei, secara Zoom,” katanya sebelum menangguhkan prosiding.

Terdahulu, peguam, M. Athimulan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan CRT bertarikh 5 dan 10 Februari lalu atas alasan terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa pembelaan tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung hukuman terhadap anak guamnya sedangkan pihaknya tidak pernah diminta untuk berbuat demikian.

“Saya mesti menangani naratif pendakwaan di sini di mana timbalan pendakwa raya menyatakan kami ada diminta untuk mengemukakan mitigasi. Saya menyatakan saya percaya tiada permintaan sebegitu dan tiada arahan spesifik dari panel ketika itu.

“CRT tersebut dalam membantu pihak kami dalam menjawab dakwaan tersebut,” kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu, pada prosiding terdahulu, pihaknya juga ada memohon CRT berkenaan namun ditolak oleh panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan itu ketika itu.

“Kedua-dua pihak kemudiannya telah diarahkan untuk menjawab segala isu melalui afidavit dan pemohon juga telah menjawab isu berkenaan melalui afidavit balasan. Ruang dan peluang untuk berbuat demikian telah digunakan sepenuhnya,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini sepatutnya mendengar permohonan semakan Mohd. Isa berhubung sabitan salah dan hukuman penjara serta denda yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Datuk Nordin Hassan dalam keputusan Februari lalu mendapati sabitan yang diputuskan hakim bicara (Mahkamah Tinggi) adalah betul dan selamat serta penemuan oleh mahkamah itu disokong oleh bukti berdasarkan peruntukan undang-undang.

Pada 2018, Mohd. Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Ia sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching pada harga RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 mendapati Mohd Isa bersalah bagi kesemua pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, dengan tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.

Mohd. Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang mendorong pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kini sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh sejak 10 Februari lalu, selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pendakwaan dan mengembalikan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN