KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kecederaan melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan dalam insiden letupan dipercayai membabitkan dron tidak berhampiran kawasan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil HQ), Naqoura, semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lokasi berkenaan berada kira-kira 24 kilometer (km) dari Kem Marakah, iaitu penempatan utama Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 di selatan Lubnan.
Katanya, sebelum kejadian, pada pukul 5.19 petang (waktu Malaysia), siren amaran dibunyikan dan arahan untuk memasuki bunker dikeluarkan kepada semua PST yang bertugas di Markas Unifil sebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman di kawasan operasi.
“Letupan berkenaan dipercayai berlaku berhampiran pagar perimeter Unifil HQ pada jarak kira-kira 20 meter daripada Malaysia House dan mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan berkenaan.
“Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan membabitkan PST Malaysia mahupun staf Unifil, memandangkan semuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pujul 5.30 petang (waktu Malaysia) berhampiran Malaysia House iaitu kemudahan rehat bagi lima Pegawai ATM yang bertugas sebagai Pegawai Staf Tentera (PST) di bawah Unifil HQ di Naqoura.
Beliau berkata, susulan insiden itu, kawasan sekitar Malaysia House ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL serta elemen berkaitan.
“Pada masa sama, penilaian lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kerosakan membabitkan struktur bangunan dan peralatan, manakala tindakan susulan berkaitan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen Malbatt 850-13.
“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi semasa di kawasan operasi di samping bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN










