WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan tidak perlu mendapatkan bantuan China untuk menamatkan perang dengan Iran, walaupun harapan untuk perjanjian damai berkekalan semakin pudar dan Teheran dilaporkan memperkukuh kawalan di Selat Hormuz.
Menjelang sidang kemuncak berprofil tinggi di Beijing, Trump berkata, beliau tidak melihat keperluan untuk meminta bantuan Presiden China, Xi Jinping bagi menyelesaikan konflik yang terus mengganggu laluan maritim bagi satu perlima bekalan minyak dunia itu.
“Saya tidak fikir kita perlukan sebarang bantuan mengenai Iran. Kita akan menang satu cara atau cara lain, secara aman atau sebaliknya,” katanya kepada wartawan.
Lebih sebulan selepas gencatan senjata sementara berkuat kuasa, kedua-dua pihak masih belum mencapai sebarang kemajuan dalam perjanjian untuk menamatkan konflik.
Namun, beliau akan mengadakan membincangkan perkara itu secara panjang lebar dengan Jinping dalam lawatannya ke negara itu bermula esok.
Bercakap kepada pemberita sebelum berlepas ke Beijing, Trump memaklumkan isu berkenaan akan menjadi antara topik utama dalam pertemuan dua pemimpin ekonomi terbesar dunia itu.
China adalah rakan ekonomi utama Iran yang membeli sebahagian besar pengeluaran minyak negara itu, selain menjadi penyokong diplomatik yang penting bagi Teheran.
Trump dijadual membincangkan perang itu dengan Jinping dalam pertemuan pada Khamis hingga Jumaat dan sebelum ini dijangka menggesa China supaya mempengaruhi Teheran untuk mencapai perjanjian dengan Washington bagi menamatkan konflik.
Di sebalik laporan mendakwa China terus membekalkan senjata kepada Iran dan membeli minyak yang dikenakan sekatan, Trump menyifatkan Jinping sebagai pemimpin yang baik dalam mengendalikan situasi tersebut.
Beliau juga berkata, setakat ini tiada masalah timbul antara kedua-dua negara kuasa besar itu.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu amat dinantikan ketika komuniti antarabangsa memerhatikan sejauh mana pengaruh Beijing mampu meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.-AFP/AGENSI










