KUALA LUMPUR: “Dahulu berkeluarga, sekarang sudah seorang.”
Demikian pengakuan pelakon 80-an, Harun Hashim yang mengakui sunyi tinggal seorang.
Namun, Harun yang berusia 70 tahun itu selesa tinggal seorang diri sejak kematian isteri, Sakinah Ganjali pada November 2024.
“Memang sunyi. Tapi saya tahu bawa diri. Saya suka tinggal seorang sebab tiada siapa ganggu.
“Bebas berbuat apa sahaja. tapi balik malam macam dahulu tak ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, pelakon tersebut memaklumkan tidak lagi merancang untuk berumah tangga.
Katanya, jika ditakdirkan berkahwin lagi, itu hanyalah untuk berteman hidup di penghujung usia.
“Tak ada yang mendekati dan saya pun tak mahu.
“Saya tak pernah buka mulut tentang berkahwin lagi. Tapi kalau berkeinginan, biarlah sekadar menjadi peneman hidup,” katanya lagi.










