PETALING JAYA: Pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan Malaysia terus berada dalam kelompok terbaik dunia dalam aspek pengurusan dan kebajikan jemaah haji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan keupayaan institusi negara mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi dalam menguruskan keperluan jemaah di Tanah Suci.
Katanya, kejayaan berkenaan membuktikan komitmen berterusan warga TH dan petugas haji yang sentiasa mengutamakan kebajikan serta keselesaan jemaah Malaysia.
“Alhamdulillah, tahniah kepada TH atas pengiktirafan berprestij yang diterima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, sekali gus mengiktiraf kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan dan kebajikan jemaah haji.
“Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan serta kecekapan institusi dan syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan dan mengharumkan nama negara dalam melayani para tetamu Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Malaysia melalui TH mengungguli Anugerah Labbaitom buat kali kelima berturut-turut oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Pengiktirafan Diamond Award Labbaitom itu membuktikan kecemerlangan pengurusan haji oleh TH sebagai antara yang terbaik di dunia.
Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Amal by Malaysia Airlines atas penerimaan Anugerah Misk Al-Khitam bagi kecemerlangannya menguruskan ketibaan jemaah haji bagi musim 1447 Hijrah. – UTUSAN










