Dua hartanah TH raih pengiktirafan

Dua hartanah TH raih pengiktirafan

TAN SRI ABDUL RASHID HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) meraih dua anugerah berprestij menerusi hartanah miliknya, Menara TH Tun Razak dan Menara Bank Islam, pada The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards (BMSPA) 2026.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam pengurusan aset serta amalan kelestarian.

Beliau berkata, BMSPA 2026 mengiktiraf usaha berterusan TH dalam mengurus dan memperkasakan aset hartanah secara profesional, inovatif serta mampan, selaras dengan amalan tadbir urus terbaik dan komitmen terhadap penciptaan nilai jangka panjang.

Menurutnya, Menara TH Tun Razak dinobatkan sebagai pemenang kategori Bangunan Pejabat Bukan Strata, manakala Menara Bank Islam memenangi kategori Bangunan Pejabat Milikan Tunggal dalam Pembangunan Strata Bercampur.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen TH dalam mengurus aset secara profesional, berintegriti dan mampan, sekali gus memastikan aset yang diamanahkan terus menjana nilai kepada lebih 9.8 juta pendeposit.

“Dua pengiktirafan ini bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan pengurusan bangunan, malah mencerminkan komitmen TH dalam memenuhi standard terbaik dalam segala apa yang dilakukan. Sebagai institusi yang mengurus amanah umat Islam, setiap aset perlu dipelihara sebaiknya agar terus memberi manfaat kepada para pendeposit, masyarakat dan negara untuk jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Abdul Rashid berkata, kejayaan itu turut membuktikan keupayaan TH sebagai institusi yang telah menerima pelbagai pengiktirafan dalam menggabungkan pengurusan aset yang matang dengan teknologi moden, pendigitalan dan amalan kelestarian selaras dengan standard terbaik industri.

Beliau berkata, Menara TH Tun Razak yang direka oleh arkitek terkenal, Hijjas Kasturi, telah menjadi mercu tanda Kuala Lumpur sejak 1985 dan terus diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif penambahbaikan.

Katanya, usaha itu termasuk menaik taraf kemudahan bangunan, memperkenalkan sistem parkir tanpa tunai berasaskan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, meningkatkan aspek keselamatan dan akses, serta merancang pemasangan sistem solar sebagai sebahagian daripada Pelan Pengurusan Aset Lima Tahun.

“Menara Bank Islam terus menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan fasiliti menerusi penyelenggaraan proaktif, pemantauan berasaskan keadaan dan penggunaan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer i-MANS, yang meningkatkan kecekapan operasi, mempercepatkan masa respons serta mengoptimumkan pengurusan aset.

“Kedua-dua bangunan ini diuruskan oleh TH Properties Sdn Bhd, iaitu sebuah anak syarikat milikan penuh TH,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang dilaksanakan berjaya memastikan kebolehpercayaan sistem kritikal bangunan seperti bekalan air domestik, lif dan sistem pencegahan kebakaran, di samping menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 6.6 peratus.

*Ini berbanding garis asas tenaga yang diselaraskan melalui pelaksanaan sistem automasi bangunan, pengoptimuman operasi sistem penyaman udara serta penggunaan lampu cekap tenaga,” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan itu mengukuhkan komitmen TH untuk terus mempertingkatkan pengurusan aset berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“TH akan terus memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan aset-aset strategik kekal berdaya saing serta mencipta nilai mampan kepada para pendeposit.

“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Kumpulan TH atas dedikasi serta komitmen mereka dalam memastikan aset-aset TH diurus mengikut standard tertinggi sehingga meraih pengiktirafan di peringkat industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN