PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya bersama bagi menggantikan Nurul Izzah Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, Amirudin akan bergandingan dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dikekalkan dalam jawatan tersebut.
Katanya, rombakan itu adalah sebahagian daripada penyelarasan strategik parti bagi melancarkan dan memperkukuh koordinasi proses kerja dalam persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Nurul Izzah akan terus memainkan peranan strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti jentera serta gerak kerja parti bagi memperkukuh persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Tumpuan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan parti terhadap setiap anggota akar umbi, supaya kekuatan PRK terus dibina secara menyeluruh, berterusan dan berakar di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fuziah berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Biro Politik PKR semalam sebagai sebahagian daripada ‘penyusunan strategik’ untuk memperkukuh kesiapsiagaan parti menjelang zilihan raya.
Dalam kenyataan sama, Fuziah berkata, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya (war room).
“Azman akan dibantu bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi,” ujarnya. – UTUSAN










