Akmal pertahan projek mesin layan diri Rafizi - Utusan Malaysia

Akmal pertahan projek mesin layan diri Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) terbukti berjaya meningkatkan pendapatan peserta daripada golongan miskin dan asnaf.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fokus kementerian ketika ini adalah memastikan program berkenaan memberi manfaat nyata kepada kumpulan sasar, bukannya melayan spekulasi luar.

“Berhubung laporan atau gesaan siasatan, itu di luar kawalan kami. Namun pada masa sama, apabila melihat hasil sebenar di lapangan seperti yang saya nyatakan tadi, kami sendiri telah bertemu peserta di Kedah, Johor dan Kuala Lumpur yang menerima manfaat daripada inisiatif ini.

“Ia membuktikan kumpulan yang kami sasar, khususnya golongan miskin dan asnaf, berjaya meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian jalinan kerjasama strategik MAIWP bersama Kementerian Ekonomi menerusi IPR-INSAN dalam usaha memperkasa ekonomi golongan asnaf dan usahawan kecil di Wilayah Persekutuan, hari ini.

Akmal berkata, keutamaan kementerian bagi tahun 2026 akan terus tertumpu kepada aspek pelaksanaan dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Semangat di Kementerian Ekonomi adalah program ini diwujudkan semata-mata untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan, manakala isu yang dibangkitkan di luar tertakluk kepada tafsiran masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, terdapat gesaan supaya Jabatan Audit Negara menjalankan siasatan terhadap projek yang dikaitkan dengan Rafizi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi turut berkata, siasatan itu penting bagi menentukan sama ada projek berkenaan masih berkesan, berlaku pembaziran atau terdapat unsur peningkatan kos perolehan mesin vending. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN