KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk aplikasi AIFA membantu masyarakat memperkukuh semakan fakta dalam usaha membendung penularan maklumat tidak sahih di platform digital.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perkembangan teknologi AI turut menyumbang kepada peningkatan penyebaran berita palsu dan maklumat separuh benar yang sukar dikenal pasti kesahihannya.
Menurutnya, situasi itu memerlukan tahap kewaspadaan lebih tinggi dalam kalangan pengguna internet bagi mengelakkan perkongsian maklumat tidak tepat.
“Kita tidak boleh menghalang sepenuhnya penyebaran berita palsu, tetapi yang lebih penting adalah mendidik masyarakat supaya membuat semakan fakta sebelum berkongsi sesuatu maklumat,” katanya ditemui pada Majlis Penutup Kursus Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media di Dewan teknologi (IPPTAR), di sini hari ini.
Menurut beliau, AIFA atau Artificial Intelligence Fact Check Assistant merupakan chatbot AI yang dibangunkan bagi membantu orang ramai mendapatkan penjelasan berdasarkan sumber rasmi.
“Aplikasi itu boleh digunakan melalui platform WhatsApp dan menyokong pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
“AIFA menerima soalan daripada pengguna dan akan memberikan jawapan berdasarkan rujukan sumber rasmi,” katanya.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan, AIFA menerima purata 434 mesej sehari, menunjukkan peningkatan penggunaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Teo menegaskan kepentingan amalan semak sebelum sebar sebagai budaya dalam kalangan masyarakat digital masa kini.
“Yang penting adalah kita membentuk budaya semak dahulu sebelum kongsi bagi memastikan ekosistem maklumat lebih bertanggungjawab.
“Selain AIFA, usaha memperkukuh literasi digital dan kesedaran masyarakat turut penting bagi memastikan pengguna lebih berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang maklumat,” katanya.-UTUSAN










