GEORGE TOWN : Aidiladha merupakan sebuah perayaan yang sarat dengan makna pengorbanan, keikhlasan serta penghayatan terhadap kebesaran Ilahi.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berkata, selain itu, Aidiladha juga merupakan madrasah rohani yang mendidik jiwa umat Islam untuk memahami erti sebenar kepatuhan mutlak kepada Allah SWT.
“Peristiwa agung Nabi Ibrahim Alaihissalam (a.s) dan Nabi Ismail a.s menjadi cerminan luhur tentang reda seorang hamba dalam menjunjung perintah Ilahi.
“Ia sekali gus mengajarkan kepada kita bahawa setiap pengorbanan yang lahir daripada hati yang ikhlas akan dipandang mulia serta dihiasi keberkatan di sisi Allah SWT,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan tersebut, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli turut mengajak seluruh umat Islam agar menjadikan Aidiladha sebagai ruang memperbaharui keinsafan diri dan menghayati nilai kesederhanaan.
“Dalam kita berusaha untuk memelihara hubungan dengan Allah SWT, janganlah sesekali diabaikan tuntutan habluminannas iaitu untuk menjaga hubungan baik sesama manusia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah turut mendoakan seluruh jemaah haji dari Pulau Pinang dan Malaysia dikurniakan kesihatan, kekuatan serta dipermudahkan segala urusan ibadah mereka di Tanah Suci selain memperoleh haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat serta penuh keberkatan.
“Saya juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terus berkhidmat demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara ketika sebahagian besar masyarakat meraikan Aidiladha bersama keluarga tersayang,” ujar beliau.-UTUSAN










