Maal Hijrah: Perkukuh akidah, pelihara keharmonian masyarakat

Maal Hijrah: Perkukuh akidah, pelihara keharmonian masyarakat

RAMLI Ngah Talib ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1448 Hijrah di TVET MARA Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Umat Islam diingatkan supaya terus memperkukuh pegangan akidah dan mendalami kefahaman agama berasaskan ilmu yang sahih dalam menghadapi cabaran era digital ketika ini.

Pesanan itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1448 Hijrah di TVET MARA Balik Pulau, di sini.

“Kemudahan teknologi dan media digital yang membuka ruang penyebaran maklumat tanpa batas sewajarnya dimanfaatkan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis itu, hari ini.

Pada majlis yang sama, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed turut dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2026.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, sebaliknya menjadi medan untuk umat Islam menghayati semangat perubahan dan pembaikan diri secara berterusan.

Oleh itu katanya, ‘roh’ hijrah perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui usaha meninggalkan kelemahan dan kelalaian kepada keadaan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti amal soleh serta ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar mengamalkan budaya ‘tabayyun’ atau menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai dan menyebarkannya, terutama dalam era media sosial yang sarat dengan pelbagai bentuk maklumat.

Dalam hal ini katanya, setiap maklumat yang diterima sewajarnya dinilai dengan cermat dan penuh tanggungjawab agar kebenaran dapat dipelihara serta keharmonian masyarakat terus terjamin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN