Aaron-Wooi Yik bukan di tahap sebenar - Sze Fei

Aaron-Wooi Yik bukan di tahap sebenar – Sze Fei

GOH Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (dua dari kanan) menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi separuh akhir Malaysia Masters di Unifi Arena, Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Goh Sze FeiNur Izzuddin Rumsani mengakui kemenangan mengejut ke atas pasangan No.2 dunia, Aaron ChiaSoh Wooi Yik di separuh akhir Malaysia Masters 2026 bukan kerana mereka lebih hebat, sebaliknya lawan gagal mempamerkan aksi sebenar di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pasangan ranking kesembilan dunia itu bagaimanapun mengambil kesempatan sepenuhnya ke atas aksi longlai Aaron-Wooi Yik untuk melakar kemenangan straight set 21-18, 21-12 dalam masa 33 minit sekali gus mara ke final buat kali kedua selepas edisi 2017.

Kemenangan tersebut turut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 3-6 selain meneruskan momentum positif selepas menewaskan pasangan sama pada Kejohanan Badminton Asia 2024 sebelum ini.

“Saya rasa hari ini kami menang bukan sebab kami lebih bagus.

“Saya fikir mereka terlalu tertekan dan tidak bermain pada tahap sebenar mereka,” kata Sze Fei kepada pemberita di sini, hari ini.

Izzuddin pula menyifatkan ketenangan menjadi senjata utama mereka untuk mengawal tekanan selain berharap peluang mara ke final kali ini mampu menebus kekecewaan muncul naib juara pada edisi 2017.

Dalam masa sama, Aaron-Wooi Yik mengakui kegagalan mengawal rentak permainan dan terlalu banyak melakukan kesilapan mudah menjadi punca utama mereka tersingkir di hadapan penyokong sendiri.

Wooi Yik berkata, mereka gagal menampilkan tahap konsistensi sebenar sehingga memberi ruang kepada Sze Fei-Izzuddin bermain lebih yakin sepanjang perlawanan.

“Saya rasa kami tidak cukup sabar dan banyak buat kesilapan sendiri. Bila jadi macam itu, mereka semakin yakin dan dapat kelebihan.

“Permainan mereka juga lebih solid dan konsisten hari ini berbanding kami. Kami masing-masing memang sudah tahu corak permainan satu sama lain, jadi kesilapan sendiri itu yang memudahkan mereka bermain,” kata Wooi Yik.

Aaron pula menafikan dia hilang kawalan emosi ketika melempar raket sewaktu perlawanan berlangsung sambil menjelaskan tindakan itu sekadar tanda kecewa terhadap kesilapan mudah yang dilakukan mereka.

“Tak ada apa, cuma rasa kecewa dengan kesilapan-kesilapan mudah,” katanya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN