KUALA LUMPUR: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengulangi pencapaian edisi 2017, mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Pasangan No. 9 dunia itu mengejutkan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan beregu No. 2 dunia 21-18, 21-12 dalam masa 33 minit pada separuh akhir.
Kemenangan tersebut membuka ruang kepada Sze Fei-Izzuddin merapatkan jurang rekod pertemuan dengan Aaron-Wooi Yik kepada 3-6.
Malah, kejayaan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin mengulangi pencapaian pada edisi 2017, sebelum beregu No. 3 negara itu tewas kepada gandingan Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto Hardianto dalam perlawanan akhir.
Pada final, esok, Sze Fei-Izzuddin dijangka berdepan sama ada rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King ataupun pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.
Kelebihan psikologi berpihak kepada Sze Fei-Izzuddin sama ada berdepan Arif-Roy King ataupun Lundgaard-Vestergaard dengan rekod pertemuan berpihak kepada mereka.
Jika, Arif-Roy King yang menjadi pencabar, maka, jurang rekod pertemuan 3-0 menjadi bekalan keyakinan buat beregu profesional itu, manakala, Lundgaard-Vestergaard pula Sze Fei-Izzuddin mendahului 3-2. – UTUSAN










