50 kapal GSF 2.0 dipintas Israel, kapal terakhir 80 batu nautika dari Pantai Gaza

50 kapal GSF 2.0 dipintas Israel, kapal terakhir 80 batu nautika dari Pantai Gaza

SANI ARABY ABDUL ALIM ARABY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kesemua 50 kapal yang mengikuti misi Global Sumud Flotila 2.0 telah dipintas tentera rejim zionis Israel, malam tadi.

Kapal terakhir yang ditahan ialah Zefiro dan Alcyone yang dilapor berada ‘paling depan’ dan berada pada kedudukan 80 batu nautika dari pantai Gaza.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua peserta yang ditahan adalah seramai 428 aktivis kemanusiaan dari 40 negara termasuk 29 orang dari Malaysia.

Beliau berkata, insiden itu menyaksikan semua kapal dalam misi bantuan kemanusiaan berdepan tindakan agresif termasuk dipintas secara haram, dikepung dan sebahagiannya diserang ketika cuba meneruskan perjalanan ke Gaza.

“Laporan awal serta bukti visual menunjukkan kapal Sirius diserang menggunakan water cannon bertekanan tinggi selain dirempuh secara agresif oleh sebuah kapal tentera laut Israel yang dikenal pasti dengan identiti A833D.

“Malah, turut dirakamkan tembakan ke arah kapal Girolama dan Elengi dalam insiden berkenaan.

“Kesemua aktivis terdiri daripada doktor, pengamal media, kapten, kru kapal serta pembela hak asasi manusia dipercayai ditahan dari kapal masing-masing di bawah ancaman senjata sebelum dipindahkan secara paksa ke kapal perang rejim,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, semua aktivis terbabit dipercayai dibawa ke Pelabuhan Ashdod pada 19 Mei lalu.

Sani Araby berkata, berdasarkan pengesahan mutakhir bilik gerakan SNCC, empat lagi rakyat Malaysia disahkan antara yang ditahan.

“Mereka ialah Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai yang berada di kapal Alcyone, Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar (Don Juan) serta Noor Thanisah Mohammad Tajudin (Zefiro).

Dalam perkembangan sama, katanya, SNCC turut mengesahkan empat daripada 11 keseluruhan delegasi serantau dari Indonesia yang mewakili jaringan Sumud Nusantara turut ditahan.

Mereka ialah Herman Budianto dan Ronggo Wirsano dari kapal Alcyone, manakala Asad Aras serta Hendro Prasetyo berada di kapal Kasri Sadabad.

SNCC menyifatkan insiden itu sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia dan menuntut tindakan segera masyarakat antarabangsa berhubung keselamatan semua aktivis yang terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN