SHAH ALAM: Seramai 43 warga asing disyaki terlibat dengan aktiviti sindiket pelbagai penipuan ditahan dalam empat siri serbuan terhadap empat kediaman di sekitar Setia Alam, di sini dan Puchong pada 19 Mei hingga semalam.
Aktiviti penipuan yang dijalankan oleh sindiket tersebut antaranya pelaburan dalam talian, tawaran pekerjaan sambilan dan penipuan bagi mengumpul maklumat kewangan mangsa.
Polis turut merampas pelbagai jenis set komputer, telefon pintar dan router wifi serta sebuah kereta dengan nilai keseluruhan lebih RM200,000.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang merekodkan tangkapan terbesar iaitu seramai 29 orang terlibat dengan pelbagai sindiket seperti pelaburan dalam talian dan pengumpulan maklumat kewangan.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek ditahan dalam tiga operasi berasingan pada 19 dan 20 Mei sekitar pukul 11 malam hingga 1.30 pagi di Puchong.
“Operasi dijalankan dekat tiga buah kediaman jenis rumah bandar dalam kawasan yang sama di Puchong. Dua daripadanya beroperasi sejak Mac dan April lalu dengan menawarkan pelaburan secada dalam talian dan menyasarkan warga Peru dan China.
“Dalam operasi ketiga, 11 warga asing termasuk seorang wanita ditahan kerana melakukan aktiviti pengumpulan maklumat kewangan individu yang diperolehi hasil daripada aktiviti penipuan antaranya seperti tawaran pinjaman,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, maklumat kewangan tersebut dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam satu sistem ditetapkan oleh ketua sindiket terbabit.
Sementara di Shah Alam, Shazeli memberitahu sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam (IPD) menyerbu sebuah banglo yang dijadikan pusat operasi sindiket penipuan tawaran pekerjaan sambilan kepada warganegara Iraq
“Sindiket tersebut beroperasi sejak Februari lalu oleh 14 lelaki warga asing termasuk seorang lelaki tempatan kononnnya menawarkan perkhidmatan tersebut menerusi aplikasi Whatsapp, Telegram dan laman web tertentu,” tambahnya.
Jelasnya, kesemua suspek dikesan masuk ke Malaysia dipercayai dari negara di Asia dengan menggunakan pas pelancong dan lawatan sosial sejak awal tahun ini hingga April lalu.
“Mereka juga dipercayai masuk ke negara ini pertama kali dan sindiket-sindiket terbabit tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
”Kesemua suspek ditahan reman sehingga 23 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN










