41 kereta mewah culas perbaharui cukai jalan disita tahun ini

41 kereta mewah culas perbaharui cukai jalan disita tahun ini

HAMIDI Adam ketika ditemui semasa Ops Khas Lebih Muatan di Ibu Pejabat JPJ Wangsa Maju di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sanggup berbelanja ratusan ribu membeli kenderaan mewah, namun culas memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta insurans.

Itu antara sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik kenderaan mewah kelas premium dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyita 41 buah kereta sejak Januari tahun ini.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Hamidi Adam berkata, sebanyak 11 kenderaan mewah masih berada dalam tahanan pihaknya manakala 30 lagi telah dilepaskan selepas pemilik memperbaharui LKM dan membayar denda.

“Antara kesalahan paling kerap dikesan membabitkan kenderaan mewah ini ialah LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Malah, ada sesetengah penilaian cukai jalan mencecah RM10,000 yang didakwa tidak mampu dibayar oleh pemilik kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ WPKL di sini, hari ini.

Hamidi berkata, antara kenderaan mewah yang tersenarai dalam rekod sitaan ialah model berprestasi tinggi seperti Ford Mustang, Bentley Continental Flying Spur, Rolls-Royce Ghost, Porsche Cayman, Aston Martin V8 Vantage dan Audi Q3.

“Pelbagai varian kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) premium seperti Land Rover Defender serta Toyota Alphard turut disita,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan yang dijalankan adalah telus tanpa mengira profil atau latar belakang pemilik termasuk membabitkan golongan berpengaruh dan selebriti tempatan.

“Kira-kira dua minggu lalu, seorang selebriti tempatan turut ditahan kerana gagal memperbaharui cukai jalan bagi kereta Bentley miliknya. Bagaimanapun, dia terus membuat bayaran dan kenderaan itu telah dilepaskan.

“Fokus kami adalah untuk membersihkan kawasan kompaun sitaan secepat mungkin. Kita tidak mahu kenderaan disimpan terlalu lama sehingga memenuhi kawasan tahanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN