KOTA BHARU: Kira-kira 4,000 penduduk membabitkan lebih 10 buah kampung di Mukim Pangkal Pisang, Ketereh dekat sini mendesak kerajaan segera mengalihkan lokasi pusingan U di laluan utama Kota Bharu-Melor yang didakwa menjadi punca pelbagai kemalangan dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.
Rata-rata penduduk yang ditemui mendakwa, kedudukan pusingan U sedia ada berhampiran Taman Desa Peringat bukan sahaja tidak praktikal, malah mewujudkan ‘zon bahaya’ sehingga mendorong segelintir pengguna bertindak melawan arus demi memendekkan perjalanan.
Menurut mereka, keadaan itu semakin membimbangkan apabila kerja-kerja pembinaan pembahagi jalan dan naik taraf laluan di kawasan berkenaan sedang giat dijalankan.
Imam tua Masjid Mukim Pangkal Pisang, Zahari Abdullah berkata, keadaan menjadi lebih bahaya apabila ada pengguna mengambil keputusan melawan arus untuk terus masuk ke laluan menghala ke Melor kerana mahu mengelakkan perjalanan yang lebih jauh untuk membuat pusingan U.
“Situasi ini berlaku hampir setiap hari dan membahayakan bukan sahaja penduduk kampung, malah pelanggan premis perniagaan berhampiran seperti bengkel, kedai tayar, klinik dan kedai makan.
“Justeru, pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu turun padang menilai sendiri keadaan sebenar di lokasi terbabit,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Pangkal Pisang, Nik Mohd. Hasmawi Nik Hassan berkata, mereka terpaksa bergerak sejauh kira-kira empat kilometer hingga ke Kampung Wakaf Tok Wali, Padang Kala semata-mata untuk membuat pusingan U sebelum berpatah balik ke kawasan kampung.
Katanya, faktor itu menjadi antara punca ramai pengguna mengambil jalan pintas secara berbahaya dengan menggunakan laluan melawan arus berhampiran deretan premis perniagaan di kawasan tersebut.
“Kami mencadangkan pihak berkuasa menutup pusingan U sedia ada di hadapan lorong masuk Taman Desa Peringat manakala cadangan kedua adalah membuka pusingan U baharu selepas jalan masuk ke Kampung Tok Khalid berhampiran Pasaraya Panji Makmur Trading,” katanya.
Nik Mohd. Hasmawi berkata,cadangan tersebut dilihat lebih praktikal kerana mampu memendekkan jarak perjalanan selain mengurangkan risiko kemalangan membabitkan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
“Inilah penyelesaian paling logik dan selamat untuk semua pihak. Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan maut baharu, baru tindakan diambil,” katanya. – UTUSAN










